KOTA SAMARAHAN: Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang didakwa ditampar oleh seorang lelaki di Kampung Asajaya Ulu, baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Barry William berkata, menurut laporan yang dibuat di Balai Polis Asajaya semalam, pengadu memaklumkan anaknya dipukul oleh seorang lelaki kira-kira 9.30 malam pada Rabu lalu.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dipukul di bahagian belakang kepala selain ditampar di bahagian pipi oleh suspek, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an yang bekerja sebagai buruh.
“Ketika insiden berlaku, pengadu berada di rumah dan hanya dimaklumkan berkaitan kejadian itu oleh mangsa,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak hari ini.
Menurut Barry, berdasarkan laporan, tindakan suspek dipercayai berpunca daripada dakwaan mangsa cuba memancitkan tayar kenderaan miliknya.
Bagaimanapun katanya, lokasi kejadian dilaporkan tidak mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
“Mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan permohonan laporan perubatan turut dibuat di IJN Kota Samarahan bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan sebarang tindakan lanjut dari segi siasatan atau peruntukan undang-undang lain akan diputuskan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) selepas permohonan untuk menjalankan siasatan lanjut selesai diproses.
Baru-baru ini, beberapa keping gambar seorang kanak-kanak lelaki dengan kesan tamparan di pipi akibat didakwa memancitkan tayar sebuah kenderaan tular di platform Facebook.
Gambar-gambar tersebut mendapat perhatian ramai pengguna media sosial, yang mengecam tindakan suspek dan menuntut pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.


