ARTIKEL

RAMPASAN: Kamera papan pemuka (dashcam) yang dirampas polis bagi membantu siasatan berhubung penemuannya di bawah sinki tandas wanita sebuah premis makanan di Tasik Biru, Bau.

Polis Siasat Penemuan Dashcam Tersembunyi di Dalam Tandas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BAU: Sebuah kamera papan pemuka (dashcam) ditemukan tersembunyi di bawah sinki tandas wanita sebuah premis makanan di Tasik Biru selepas seorang pengunjung terdengar bunyi ‘bip’ berulang kali, semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata, penemuan peranti itu dibuat oleh seorang wanita berusia 42 tahun kira-kira 11 pagi ketika menggunakan tandas di sebuah premis.

Menurutnya, polis merampas sebuah kamera papan pemuka jenama EZVIZ berwarna hitam bersama kad memori Kingston berkapasiti 64 gigabait (GB) bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, berdasarkan laporan diterima, pengadu pada mulanya mengunjungi premis makanan berkenaan sebelum memasuki tandas wanita untuk membuang air kecil.

Ketika berada di dalam tandas kata Mohd Haide, wanita terbabit terdengar bunyi ‘bip’ berulang kali yang menimbulkan rasa curiga.

Katanya, pengadu kemudian memeriksa kawasan sekitar bagi mengesan punca bunyi tersebut sebelum menemukan sebuah objek kecil berwarna hitam di bawah sinki.

“Pemeriksaan mendapati objek berkenaan merupakan sebuah kamera papan pemuka yang disyaki diletakkan secara tersembunyi,” ujarnya.

Mohd Haide berkata, susulan penemuan itu, pengadu segera memaklumkan perkara tersebut kepada pengurusan premis makanan berkenaan.

Katanya, pengurus premis kemudian menemani wanita terbabit ke balai polis untuk membuat laporan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Menurutnya, polis telah merakam percakapan pengadu dan pengurus premis selain menjalankan pemeriksaan serta mengambil gambar di lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, siasatan awal mendapati tiada saksi yang melihat individu meletakkan kamera berkenaan di dalam tandas tersebut.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab meletakkan peranti berkenaan.

“Setakat ini, tiada tangkapan dibuat berhubung kejadian tersebut,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU