KUCHING: Dua lelaki tempatan yang mempunyai rekod jenayah lampau diberkas polis selepas disyaki terlibat dalam kes kecurian motosikal di Jalan Pending, sekali gus membawa kepada penemuan semula kenderaan yang dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata, kedua-dua suspek berusia 25 dan 33 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di Kampung Siol Kandis serta Kampung Pulo pada Selasa dan semalam.
Beliau berkata, tangkapan dilakukan hasil siasatan susulan laporan kehilangan sebuah motosikal jenis Honda yang diterima polis pada kira-kira 10.34 pagi, 22 Jun.


“Motosikal itu dilaporkan hilang di belakang Bangunan Rajah Cafe, Jalan Pending,” katanya dalam kenyataan.
Alexson menambah, hasil operasi yang dijalankan, polis berjaya menemukan semula motosikal yang dilaporkan hilang selain merampas sebuah Honda Wave berwarna merah dan hitam yang menggunakan nombor pendaftaran palsu serta sebuah Yamaha Y15ZR berwarna merah.
Menurutnya, semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.
Tambah beliau, keputusan saringan awal air kencing turut mendapati kedua-dua suspek positif dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan motor yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berwaspada dengan memastikan kenderaan diparkir di tempat yang selamat, dikunci dan dilengkapi ciri keselamatan tambahan.
“Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.


