ARTIKEL

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin - (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

Polis Tahan Lelaki, Rampas Pelbagai Dadah Bernilai Lebih RM100,000

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

IPOH, 4 Sept (Bernama) — Polis menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai  jenis dadah dianggarkan bernilai RM125,015 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Rishah di sini, semalam.Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata lelaki berusia 30 tahun itu ditahan kira-kira 4 petang oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.

“Hasil pemeriksaan di sebuah rumah kosong di hadapan rumah suspek, polis merampas 280 peket plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 1.3 kilogram dan lima peket plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis ketamine dianggar seberat 371 gram.

“Polis turut merampas 15 peket plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 347 gram serta tiga peket plastik lut sinar berisi ketulan daun mampat disyaki dadah jenis ganja dianggar seberat 18 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil saringan urin mendapati lelaki itu negatif terhadap dadah, namun semakan mendapati dia memiliki empat rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

Beliau berkata pihaknya turut menyita sebuah kereta Honda Accord dianggar bernilai RM40,000.

Noor Hisam berkata lelaki itu disyaki aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak awal Jun 2024 dan dadah berkenaan dipercayai untuk edaran pasaran tempatan negeri ini.

“Dianggarkan jumlah dadah dirampas boleh digunakan sebanyak 2,000 penagih,” katanya.Beliau berkata lelaki itu kini direman hingga 10 Sept ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU