SARATOK: Polis menahan suspek utama kes kecurian bateri dan minyak diesel milik jentera pengorek yang digunakan bagi kerja-kerja pembaikan saluran perparitan di Jalan Temudok, Awik, manakala seorang lagi rakannya masih diburu.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, suspek berusia 36 tahun yang bekerja sebagai buruh ditahan di kawasan Lubok Renit, Awik hasil maklumat orang awam.
Menurutnya, suspek ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Saratok dan disiasat mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan kerana disyaki mencuri bateri serta minyak diesel daripada jentera pengorek yang diletakkan di tepi Jalan Temudok.
“Hasil soal siasat, suspek mengaku mengambil bateri dan minyak diesel tersebut bersama-sama seorang rakannya yang kini masih bebas.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua mereka menyembunyikan barang curi itu di kawasan semak berhampiran Rumah Panjang Lubok Renit sementara menunggu pembeli yang berminat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jelasnya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amfetamin dan methamfetamin.
Tambahnya, semakan turut mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau yang juga berkaitan kesalahan dadah.
Dalam operasi itu, polis merampas satu bateri jenama Super Charge Batteries, dua tong berwarna hijau berisi minyak diesel serta satu corong dengan hos panjang yang dipercayai digunakan untuk memindahkan bahan api.
Menurut Mathew, jentera pengorek berkenaan sedang digunakan bagi kerja-kerja pembaikan saluran perparitan di kawasan Jalan Temudok ketika kejadian berlaku.




