ARTIKEL

Kompilasi 7 suspek aktif curi motosikal

Polis tumpaskan kumpulan curi motosikal di Kuching

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kegiatan jenayah sekumpulan lelaki yang aktif mencuri motosikal di sekitar bandar raya ini sejak hujung tahun lalu akhirnya terbongkar apabila tujuh suspek diberkas dalam satu operasi khas pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, mengesahkan tangkapan tersebut dibuat kira-kira jam 10.30 pagi pada 3 April lalu di kawasan Siol Kandis menerusi Ops Lejang Khas yang dilancarkan susulan laporan polis diterima sehari sebelumnya.

Menurut beliau, kesemua suspek warga tempatan berumur antara 21 hingga 29 tahun dipercayai terlibat dalam beberapa kes kecurian motosikal di sekitar daerah Kuching.

“Hasil siasatan awal mendapati kumpulan ini aktif menjalankan kegiatan mencuri motosikal sejak penghujung tahun 2025 dan dipercayai terlibat dalam beberapa kes lain di sekitar bandar ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas kenyataan itu, ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua tujuh suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

“Semakan lanjut turut mendapati enam daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau,” tambahnya.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum tujuh tahun selain boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, pihak polis menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah tersebut agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Petrus, di talian 019-518 3807 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Tegas beliau, kerjasama masyarakat amat penting dalam memastikan kegiatan jenayah seperti ini dapat dibanteras sepenuhnya demi keselamatan awam.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU