ARTIKEL

Tertuduh(baju merah) keluar dari bilik Mahkamah Sesyen 3 ditemani anggota polis.

Pornografi kanak-kanak: Pelajar Tingkatan Enam dihantar ke Sekolah Henry Gurney

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang pelajar Tingkatan Enam diperintahkan ke Sekolah Henry Gurney sehingga berusia 21 tahun oleh Mahkamah Sesyen hari ini, kerana menyimpan dan terlibat dalam perniagaan pornografi kanak-kanak, April lalu.

Hakim Musli Abdul Hamid memerintahkan demikian selepas pendengaran laporan sosial remaja berusia 19 tahun itu dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini.

Terdahulu, dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa terlibat dalam perniagaan berkaitan pornografi kanak-kanak.

Pendakwaan mengikut Seksyen 8 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (792), yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan boleh disebat tidak kurang daripada tiga sebatan.

Manakala, pertuduhan kedua, dia didakwa menyimpan bahan pornografi kanak-kanak dalam telefon pintar miliknya.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (SOACA) 2017, yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Dia melakukan kedua-dua kesalahan itu dalam sebuah rumah di sebuah kampung di Bau, sekitar jam 9.10 malam, 7 April lepas.

Musli turut memerintahkan tertuduh menjalani pemulihan kaunseling sepanjang penahanannya di sekolah tersebut mengikut Seksyen 26(1) SOACA 2017.

Selain itu, dia juga hendaklah dipastikan menyelesaikan perperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia(STPM).

Musli turut memerintahkan remaja terbabit di bawah pengawasan pihak polis selama dua tahun selepas dibebaskan dari sekolah tersebut.

Siasatan kes dilakukan oleh Pegawai Penyiasat Inspector Mohammad Faris Abdul Ghani.

Terdahulu, media melaporkan seorang remaja telah ditahan kerana disyaki mengakses video lucah kanak-kanak dan dewasa serta menyimpan gambar dan video pornografi.

Ketua Polis Daerah Bau Superintendan Mohd Haide A. Rahman berkata, semakan awal ke atas peranti yang dirampas daripada remaja terbabit mendapati dia menyimpan sebanyak 936 video lucah dan 4,035 gambar pornografi dalam galeri telefon pintarnya.

Tambah beliau, suspek juga ada membuat transaksi jual beli video lucah melalui aplikasi Telegram dan mempromosikan ke platform TikTok.

Mohd Haide menambah, suspek turut menyatakan tidak ketagih dan hanya menjadikannya sebagai sumber pendapatan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU