Potensi jadi pusat jantung terbaik

KUCHING: Dalam 10 tahun akan datang, Pusat Jantung Sarawak berpotensi menjadi salah satu pusat jantung terbaik dalam kecemerlangan klinikal dan penyelidikan di dunia, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.
Ujar beliau, Hutan Borneo kini mampu membangunkan Pusat Jantung Sarawak bernilai berbilion ringgit dengan adanya pusat penyelidikan penyakit berjangkit dalam jarak dekat, turut disokong oleh Unimas dan UiTM.
“Dalam kawasan yang sama, kita mempunyai pusat perkhidmatan kesihatan dan pusat kajian dan kita juga mempunyai Zon Perindustrian Bebas Samajaya untuk menghasilkan produk-produk kesihatan.
“Selain itu, seluruh kawasan ini berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching untuk tujuan penghantaran,” jelas Dr Sim dalam satu kenyataan media sempena ulang tahun ke-20 Perkhidmatan Rawatan Kardiac di Sarawak dan Ulang tahun ke-10 pengoperasian Pusat Jantung Sarawak.
Mengulas mengenai ulang tahun Pusat Jantung Sarawak, beliau mendedahkan bahawa pada mulanya, Pusat Jantung itu dikenali sebagai Perkhidmatan Kardiotorasik Hospital Umum Sarawak pada 2001 sehingga 2011 seterusnya Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak dan akhirnya Pusat Jantung Sarawak.
“Bagi kakitangan pula, pada mula ia beroperasi, pusat ini mempunyai kurang daripada 30 kakitangan dengan perkhidmatan kardiologi, pembedahan kardiotorasik, anestesiologi serta perfusi dan kini ia bertambah hampir 1,000 kakitangan dengan perkhidmatan pediatrik kardiologi, pemulihan jantung, pusat penyelidikan klinikal, radiologi dan kemalangan.
“Justeru, saya sangat berterima kasih kepada setiap kakitangan pasukan pelbagai disiplin atas jasa, dedikasi, semangat, pengorbanan mereka dalam menjaga dan memberi 10,000 lagi rakyat Sarawak peluang lain untuk terus hidup,” katanya.
Jelas Dr Sim, beliau sangat menghormati dan berterima kasih kepada setiap ahli pasukan yang berkongsi visi dengan pihak kementerian, sentiasa bersemangat dan menjalankan misi agar ia sentiasa berjalan dengan lancar.