KUCHING: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sarawak berjaya menggagalkan penyeludupan sebanyak 575 kotak rokok yang dianggarkan bernilai RM4.312 juta di sini, semalam.
Komander PPM Wilayah 5 Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata tangkapan di buat oleh pasukan Unit Risikan PPM Wilayah 5 Kuching yang menjalankan ‘Op Kontraband’, hasil penahanan ke atas sebuah lori 10 tan yang membawa kesemua rokok itu kira-kira jam 5.30 pagi di Jalan Serian – Sri Aman, berdekatan simpang Jalan Gedong.
“Hasil pemeriksaan telah menjumpai sejumlah kotak berisi rokok yang tidak bercukai di dalam lori. Pemandu lori gagal mengemukakan dokumen berkaitan muatan yang dibawanya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata selain rokok, pasukan turut menahan seorang lelaki tempatan yang merupakan pemandu lori terbabit serta merampas lori yang dianggarkan bernilai RM150,000 itu.
Menurut Shamsol, lori berkenaan dipercayai membawa rokok-rokok itu dari Bintulu untuk pasaran di Kuching.
“Pemandu mempunyai permit merentas daerah yang diluluskan oleh polis. Permit banyak dipohon untuk penghantaran barang perlu dan sebagainya, jadi berkemungkinan tidak dinyatakan spesifik barang yang dibawa.
“Boleh dikatakan dia tidak berkata benar ataupun tidak menyatakan alasan yang sebenar untuk membawa barang ke Kuching,” katanya.
Tambah beliau lagi, kesemua rampasan dan tangkapan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967.



