ARTIKEL

Dr. Wynson Ong Teck Ping

PPS desak agensi pelancongan di Sibu pulangkan potongan RM8,000

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pertubuhan Pengguna Sarawak (PPS) mendesak sebuah agensi pelancongan yang beroperasi di Sibu agar bertanggungjawab atas dakwaan melakukan potongan sebanyak RM8,000 daripada bayaran pendahuluan tanpa penjelasan terperinci susulan pembatalan pakej pelancongan akibat ketidaktentuan situasi keselamatan global.

Presidennya, Dr. Wynson Ong Teck Ping berkata, pihaknya memandang serius dua aduan membabitkan pakej pelancongan yang kini berdepan ketidakpastian berikutan situasi di luar kawalan pengguna tersebut.

Menurut beliau, salah satu kes melibatkan dua pengadu yang menempah pakej pelancongan melalui sebuah agensi di Sibu pada 15 Ogos 2025 bagi perjalanan dari Malaysia ke Norway dengan tarikh berlepas dijadualkan pada 31 Mei 2026.

“Jumlah keseluruhan pakej adalah RM29,888. Pengadu telah membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM19,500 pada 22 September 2025, selain bayaran tempahan sebanyak RM1,000 pada Ogos 2025.

“Bagaimanapun, susulan konflik peperangan yang berterusan, laluan penerbangan asal melalui Dubai ke Norway kini berada dalam keadaan tidak menentu. Pengadu dimaklumkan sekiranya perjalanan dari Dubai ke Norway tidak dapat diteruskan, semua kos tambahan di lokasi transit, termasuk penginapan serta makanan perlu ditanggung sendiri oleh pengguna,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau menegaskan, keadaan itu jelas tidak munasabah dan membebankan pengguna, sekali gus mendorong pengadu memutuskan untuk tidak meneruskan perjalanan. Malah, agensi itu sendiri dilaporkan mencadangkan agar perjalanan tidak diteruskan memandangkan kos tambahan yang tinggi perlu ditanggung pengguna.

“Pada Mac lalu, pengadu secara rasmi memaklumkan hasrat untuk membatalkan perjalanan. Agensi berkenaan menawarkan beberapa pilihan, termasuk mengekalkan laluan asal dengan risiko kos tambahan antara RM20,000 hingga RM30,000 dan menukar laluan penerbangan melalui negara lain tanpa kepastian sambungan serta kos tambahan yang tidak jelas.

“Antara pilihan yang turut diberikan adalah membatalkan perjalanan dengan potongan RM8,000 daripada bayaran pendahuluan. Pengadu mendapati semua pilihan tersebut tidak munasabah kerana melibatkan risiko tinggi serta kos tambahan yang tidak telus, selain potongan yang dikenakan tanpa perincian terperinci,” ujarnya.

Beliau menambah, sehingga kini, agensi pelancongan tersebut masih gagal memberikan penjelasan telus mengenai sebab butiran potongan serta tidak mengemukakan sebarang pilihan alternatif munasabah kepada pengguna.

Sehubungan itu, PPS menegaskan bahawa agensi pelancongan perlu bertindak secara telus dan bertanggungjawab dalam situasi seperti ini, khususnya dalam menjelaskan sebarang potongan bayaran kepada pengguna.

“PPS juga telah memaklumkan kepada agensi agar lebih telus dalam mengendalikan isu berkaitan bayaran, termasuk potongan harga dan kos yang dikenakan. Sekiranya isu ini tidak diselesaikan secara baik, kes akan dibawa ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) bagi mendapatkan penyelesaian yang adil,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyatakan PPS menerima enam aduan melibatkan agensi pelancongan sepanjang tempoh Mac hingga April 2026.

“Daripada jumlah itu, empat kes berjaya diselesaikan hasil campur tangan PPS apabila agensi terbabit bersetuju membatalkan perjalanan serta memulangkan semula deposit kepada pengguna.

“Bagaimanapun, dua kes yang melibatkan agensi di Sibu ini masih dalam tindakan dan pemantauan lanjut oleh PPS,” tegasnya.

Orang ramai yang ingin membuat sebarang aduan boleh mengemukakannya melalui talian PPS di 017-710 9299.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU