ARTIKEL

Pramugara guna Barbie promosi pakaian tradisional

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Anang enda ingat ke penatai diri taja jauh bejalai ke menua urang (jangan lupa asal usul walaupun telah menempuh perjalanan jauh di tempat orang) begitulah nasihat Nara Bunsu ibu kepada Wesley Juntan setiap kali pergi ke tempat lain.

Menurut pramugara Malaysia Airline yang berusia 33 tahun itu, nasihat ibunya yang penuh makna itu membuatnya tertanyatanya maksud yang tersirat di sebalik kata-kata tersebut.

“Setelah menamatkan pengajian di Universiti Malaysia Terengganu, saya berpindah ke Kuching dan bekerja sebagai guru ganti di SMK Tunku Abdul Rahman. “Saya masih ingat suatu ketika dahulu, terbaca satu iklan mengenai kerjaya sebagai pramugara yang diiklankan oleh Malaysia Airlines di sebuah akhbar tempatan mendorong saya untuk mencuba nasib.

“Bak kata pepatah Melayu tuah ayam nampak dikaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Saya lulus temu duga dan kerjaya itu memerlukan saya tinggal di Kuala Lumpur. “Saya menyedari rezeki saya jauh dari kampung halaman menyebabkan ibu sentiasa berpesan agar tidak melupakan asal usul,” jelasnya.

Pemuda dari Sekuau, Sibu itu mendedahkan pesanan ibunya telah menjadi pendorong kepadanya untuk sentiasa memastikan asal usul masyarakat Iban terus dipelihara.

Menurutnya, pelaksanaan Perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak Mac lalu telah memberi idea kepadanya mencipta sesuatu yang memberi impak besar kepada generasi baharu dan orang luar mengenai budaya masyarakat Borneo melalui penciptaan boneka Barbie yang memakai pelbagai pakaian tradisional Borneo.

“Sarawak merupakan sebuah negeri yang mempunyai pelbagai suku kaum dan budaya. Saya terdorong untuk menciptakan boneka Barbie ini dengan padanan pakaian tradisional dari beberapa etnik Sarawak. “Saya bukan sahaja kongsikan minat saya malah secara tidak langsung memperkenal budaya masyarakat di Borneo kepada orang luar.

“Saya berharap projek ini dapat dijadikan sumber maklumat kepada generasi baharu dan juga orang luar mengenai pakaian tradisional masyarakat di Borneo,” ujarnya.

Wesley menambah, ini bukanlah kali pertama dia menciptakan boneka Barbie malah pernah memadankan boneka Barbie dan anak patung rekaan pertamanya menerusi pramugari Barbie, berpakaian seragam kebaya Malaysia Airlines.

Selain disarungkan dengan set kebaya Malaysia Airlines, pramugari boneka Barbie turut dipakaikan dengan seragam Air Asia, Qatar Airways dan Malindo Air, yang masing-masing dijual antara RM200 hingga RM350.

Menurutnya, untuk mendapatkan butiran yang kompleks dan cantik ia bukanlah satu tugas yang mudah malah mencabar. Bagaimanapun, semua kerja keras dan perincian yang dilakukan seakan terbayar, kerana jualan boneka hampir laris dalam sehari serta mendapat lebih banyak permintaan tinggi.

Beliau turut menambahkan sebanyak 12 koleksi boneka Borneo iaitu Kumang Barbie yang merupakan boneka kegemaran pelanggan termasuk dirinya sendiri kerana dilengkapi dengan penutup kepala (Sugu Tinggi) yang sangat mempesona dalam kehidupan nyata.

“Ini sangat mencabar kerana saya harus memikirkan cara untuk menciptakan aksesori yang kelihatan sama dengan ukuran Barbie. Saya perlu merujuk kepada banyak pakar untuk setiap perincian kostum. “Biasanya, saya akan mengambil masa dua hingga tiga hari untuk melengkapkan penampilan satu boneka kerana ia melalui proses dan melibatkan perkakas seni dan kraf.

“Saya bernasib baik kerana mempunyai sepupu yang turut membantu untuk menghias boneka Kumang dan Keling. “Saya menggunakan boneka Barbie yang asli dari Mattel, yang dijual antara RM350 dan RM650, bergantung pada keunikan pakaiannya,” katanya kepada New Sarawak Tribune.

Menurut Wesley, harga boneka Keling lebih tinggi berbanding boneka lain ekoran proses penghasilan aksesorinya agak sukar termasuk pemasangan sangkuh, terabai dan juga pedang.

Beliau yang pernah meraih gelaran Keling dalam Pertandingan Raban Ngepan Iban tahun lalu, menjelaskan pengalaman tersebut memberi inspirasi tercetusnya idea tersebut.

Mengulas mengenai perancangan masa depan Wesley mendedahkan dia berhasrat untuk mengenakan pakaian tradisional suku lain seperti Kumang dan Dayung Sangon Barbies dalam versi Muslimah atas permintaan pelanggan.

“Namun buat masa ini saya masih fokus untuk memperkembangkan apa yang ada sekarang ini,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU