
PADAWAN: Niat seorang lelaki menyamar sebagai seorang pegawai polis untuk bergurau membawa padah apabila ditahan di Balai Polis Tapah, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata,
suspek berumur 36 tahun telah tampil ke Balai Polis Tapah kira-kira jam 3.20 petang dan memperkenalkan dirinya sebagai pegawai kanan polis dari Bukit Aman kepada pegadu iaitu anggota polis yang bertugas sebagai Penyelia Kaunter Aduan.
Katanya, suspek mengarahkan pengadu untuk masuk ke kaunter aduan dan menyatakan dia adalah Pegawai Turus dari Bukit Aman dan kedatangannya adalah untuk menangkap pengadu.
“Suspek kemudiannya berkata hendak keluar bagi mengambil fail dan apabila masuk semula ke balai, suspek membawa sebiji kek dan menyatakan tindakannya sebelum itu adalah ‘prank’.
“Kek yang dibawa oleh suspek merupakan tempahan daripada seorang pelanggan untuk diberikan kepada pengadu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abang Zainal berkata, memandangkan perbuatan suspek telah melampaui batas, rakan setugas pengadu telah memberikan amaran bahawa perbuatannya adalah salah kerana disifatkan menyamar sebagai polis.
Bagaimanapun katanya, suspek sekali lagi memberitahu dia adalah anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.
“Pemeriksaan dokumen kemudian mendapati suspek sebenarnya orang awam dan isterinya menjalankan perniagaan tempahan kek,” ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, suspek ditahan di lokap Balai Polis Siburan dan disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan.
Tambahnya, suspek direman di Mahkamah Kuching hari ini.



