ARTIKEL

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil, melepaskan ikan ke dalam kolam PNK Satang Biru.

Prasarana pelabuhan mewah dan maju dapat jadikan Sarawak peneraju dalam industri perikanan negara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kekuatan prasarana pelabuhan yang mewah dan maju di Sarawak dapat menjadikan negeri ini sebagai peneraju dalam industri perikanan negara, kata Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil.

Menurutnya, Sarawak merupakan sebuah negeri besar yang memberikan kelebihan kerana memiliki laut luas serta sumber ikan yang banyak.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil, menandatangani plak merasmikan kolam PNK Satang Biru.

“Ditambah dengan prasarana pelabuhan yang terletak di Tanjung Bako dan Tanjung Manis, kita sasarkan untuk menambah pendaratan ikan yang sudah pasti akan merangsang aktiviti perikanan di Sarawak.

“Sarawak berada di tangga keenam dari sudut pendaratan ikan berbanding kita (Semenanjung), malah kekuatan potensi sumber laut kita juga masih rendah.

“Oleh itu, kita mahu menggalakkan lebih ramai nelayan di negeri ini untuk aktif, pada masa sama memainkan peranan untuk menghidupkan ekosistem perikanan melibatkan sektor huluan dan hiliran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kolam Pancing Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Satang Biru di Kampung Telaga Air di sini, hari ini.

Tambahnya, Sarawak juga memiliki kekuatan dari segi sumber manusia dengan 19 PNK, jumlah terbanyak di Malaysia.

“Maka itu, kita mahu setiap PNK memainkan peranan masing-masing dalam membangunkan projek ekonomi mereka di bawah agenda 1 Produk 1 PNK (1P1P) supaya usaha membangunkan dan memajukan persatuan nelayan itu dapat dicapai,” jelasnya.

Sementara itu, Faiz sempat melawat sekali gus merasmikan projek ekonomi PNK Satang Biru, iaitu kolam pancing yang terletak di Kampung Telaga Air.

Menurut siaran media yang dikeluarkan oleh LKIM, projek ini merupakan usaha PNK Satang Biru dalam bidang agropelancongan dengan sasaran menyumbang kepada peningkatan ekonomi persatuan.

Kolam pancing yang dibangunkan atas tanah seluas satu hektar ini dibiayai melalui Skim Pinjaman Institusi Nelayan (SPIN) LKIM, dengan anggaran kos berjumlah RM400,000.

Kolam tersebut akan menempatkan pelbagai spesies ikan popular bagi pengunjung, termasuk GT (belokok), siakap (selunsung) dan ikan merah tanda, sesuai dengan minat penggemar aktiviti memancing.

Sehubungan itu, usaha tersebut dilihat sebagai satu langkah yang mampu menarik lebih ramai pelancong, khususnya dalam kalangan pemancing, ke lokasi ini.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU