KUALA LUMPUR: Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meneruskan perjalanan ke Stadium Nasional Bukit Jalil malam semalam selepas merasmikan Program Sarawakku Sayang Bahagian Bintulu bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia 2025/2026 melibatkan Kuching City FC (KCFC).
Kehadiran beliau kira-kira jam 8.45 malam menyuntik sokongan moral kepada pasukan KCFC yang turun menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi final berprestij itu.

Beliau bersama barisan pemimpin kerajaan negeri turut menggamatkan suasana stadium apabila menerima sorakan lebih 20,000 penyokong KCFC yang memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil sejak 5 petang.
Ketibaan Premier disambut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang serta Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Presiden KCFC Datuk Fazzrudin Abdul Rahman.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi serta barisan pengurusan tertinggi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL).
Dalam pada itu, JDT menutup saingan Piala Malaysia edisi ke-99 musim 2025/2026 sebagai juara selepas menumpaskan KCFC 2-0 dalam aksi final berkenaan.
Meskipun akur dengan kekalahan itu, KCFC tetap mencatat pencapaian terbaik sepanjang saingan Liga Malaysia musim ini selepas muncul naib juara Liga Super 2025/2026 selain layak ke saingan Liga Juara-Juara Asia 2.


