MIRI: Sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026, pendekatan santai namun penuh makna dizahirkan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dengan meluangkan masa beriadah bersama rakyat menerusi aktiviti briskwalk di Taman Bulatan Miri pagi tadi.
Hari kedua program di sini dimulakan dengan aktiviti riadah bersama rakyat yang menyaksikan kira-kira 100 penduduk setempat menyertai sesi senamrobik sebelum meneruskan briskwalk mengelilingi kawasan taman dalam suasana santai dan harmoni.


Kehadiran Abang Johari seawal jam 6.30 pagi itu disambut mesra masyarakat yang mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menggalakkan amalan gaya hidup sihat di samping memperkukuh hubungan antara pemimpin dan komuniti.
Selain memberi penekanan kepada kesejahteraan fizikal, aktiviti tersebut turut membuka ruang interaksi lebih dekat antara pemimpin dan rakyat dalam suasana tidak formal.
Seusai aktiviti, beliau turut meluangkan masa bersarapan bersama komuniti setempat, sekali gus mengeratkan lagi hubungan silaturahim.
Dalam pada itu, Program SKS 2026 berlangsung dari Jumaat hingga Ahad ini di Stadium Miri dengan kemuncaknya ialah majlis perasmian yang akan disempurnakan oleh Abang Johari di Stadium Miri hari ini yang dijadualkan pada jam 10.30 pagi.


