KUCHING: Rakyat Sarawak bertuah kerana memiliki Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, sebagai pemimpin yang komited dalam menerajui ekonomi baharu Sarawak menuju 2030, kata Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Operasi), Datuk Hii Chang Kee.
Menurutnya, sejak berada di bawah kepimpinannya, rakyat telah menyaksikan kemajuan luar biasa dalam transformasi digital, tenaga hijau serta kelestarian ekonomi yang memastikan Sarawak kekal di barisan hadapan dalam inovasi dan pembangunan.
“Selain itu, komitmen beliau terhadap keterangkuman dan pemerkasaan ekonomi bagi semua komuniti juga mencerminkan semangat serta aspirasi Tahun Baharu Cina (TBC) yang membawa kemakmuran, kesejahteraan dan masa hadapan yang lebih cerah untuk generasi akan datang,” katanya.
Chang Kee berkata demikian pada Majlis Sambutan TBC Jabatan Premier di Atrium Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, sambutan ini tidak akan berjaya tanpa bimbingan Setiausaha Kerajaan Negeri serta dedikasi dan usaha gigih jawatankuasa penganjur.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada setiap individu yang terlibat atas komitmen, kerjasama dan ketekunan anda semua.
“Sumbangan anda benar-benar mencerminkan semangat kebersamaan yang menjadi identiti rakyat Sarawak,” ujarnya.
Dalam pada itu, Chang Kee menambah, sambutan ini lebih bermakna kerana ia bertepatan dengan perayaan Chap Goh Mei, iaitu hari ke-15 dan terakhir dalam perayaan Tahun Baharu Cina.
“Chap Goh Mei, yang juga dikenali sebagai Pesta Tanglung, merupakan masa bagi pertemuan semula, kesyukuran dan permulaan baharu.
“Ia mengingatkan kita akan kepentingan perpaduan, keharmonian serta usaha bersama dalam mencapai kejayaan yang lebih besar,” jelasnya.
Sementara itu, beliau menerangkan bahawa Tahun Ular pada kali ini melambangkan kebijaksanaan, transformasi dan ketahanan.
“Dalam budaya Cina, ular dikenali dengan kepekaan dan keupayaannya menyesuaikan diri, iaitu ciri-ciri yang seiring dengan kemajuan serta aspirasi Sarawak dalam menuju masa hadapan yang dinamik dan makmur,” katanya lagi.



