ARTIKEL

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Datuk Kamil Misuari, suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri di kediaman beliau di Taman Serira, Petra Jaya.

Premier Sarawak, TYT ziarah jenazah suami Datuk Seri Nancy Shukri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Setiap pemimpin memerlukan sokongan keluarga yang kuat bagi membantu mereka mengharungi cabaran serta melaksanakan amanah kepada rakyat dengan berkesan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata hakikat itu dapat dilihat menerusi peranan Allahyarham Datuk Kamil Misuari yang sentiasa memberikan sokongan kepada isterinya Datuk Seri Nancy Shukri sepanjang penglibatan beliau dalam dunia politik dan pentadbiran negara.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi hadir menziarahi Datuk Seri Nancy Shukri serta keluarga di Taman Serira, Petra Jaya hari ini. (Foto: Levrone Aigle)

Menurut beliau, pemergian Allahyarham bukan sekadar kehilangan peribadi buat Nancy yang juga Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat malah meninggalkan kekosongan besar dalam kehidupan seorang pemimpin yang selama ini mendapat sokongan penuh daripada pasangannya.

Katanya, Allahyarham merupakan antara individu yang sentiasa berdiri teguh di sisi Nancy sepanjang perjalanan kerjaya politik dan perkhidmatannya kepada rakyat.

“Suaminya telah banyak memberikan sokongan kepada Datuk Seri Nancy dalam bidang kebajikan dan juga dalam tanggungjawab beliau sebagai seorang pemimpin wanita dan seorang menteri,” katanya ketika ditemui di kediaman Nancy di Taman Serira, Petra Jaya hari ini.

Turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama-sama isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi yang menziarahi keluarga berkenaan bagi menyampaikan ucapan takziah.

Abang Johari berkata, sokongan yang diberikan Allahyarham bukan sahaja dalam urusan keluarga malah turut membantu Nancy melaksanakan pelbagai tanggungjawab berkaitan kebajikan dan perkhidmatan kepada masyarakat.

Beliau berkata, peranan ahli keluarga sering kali tidak mendapat perhatian umum namun sumbangan mereka amat besar dalam memastikan seseorang pemimpin dapat melaksanakan tugas dan amanah dengan baik.

“Saya yakin Datuk Seri Nancy akan terus meneruskan tanggungjawabnya dengan semangat yang ada dan inspirasi daripada arwah,” ujarnya.

Pada masa sama beliau menzahirkan ucapan takziah kepada Nancy dan seluruh ahli keluarga atas kehilangan yang dialami.

“Kami ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Datuk Seri Nancy atas kehilangan suami yang tersayang. Kita doakan semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya.

Perjalanan terakhir Allahyarham berakhir di Bumi Kenyalang apabila jenazah beliau dibawa pulang dari Kuala Lumpur ke Kuching hari ini untuk dikebumikan.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 65 tahun di Hospital Ampang, Kuala Lumpur pada jam 6.38 petang semalam.

Pemergian beliau bukan sahaja diratapi ahli keluarga malah turut dirasai rakan-rakan serta kenalan yang pernah mengenali keperibadian dan jasa Allahyarham sepanjang hayatnya.

Anak kelahiran Lahad Datu, Sabah itu merupakan anak keempat daripada tujuh beradik kepada pasangan Misuari Ariff dan Frika Abaka.

Sebaik tiba di Kuching jenazah dibawa ke kediaman Datuk Seri Nancy Shukri di Taman Serira, Petra Jaya kira-kira jam 2 petang bagi memberi ruang kepada ahli keluarga, sahabat handai dan kenalan memberikan penghormatan terakhir sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU