BANDAR SERI BEGAWAN: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tiba di Brunei Darussalam petang ini bagi menyertai lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 21 dan 22 Ogos.
Beliau tiba pada jam 4.54 petang dan disambut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, bersama rombongan Sarawak.

Kehadiran Abang Johari dijangka memberi tumpuan kepada kepentingan Sarawak, khususnya dalam meneroka peluang memperluas kerjasama dengan Brunei dalam sektor tenaga, tenaga boleh baharu, ekonomi, pertanian dan pelancongan.
Abang Johari antara pemimpin yang akan mengiringi Perdana Menteri menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan Kali Ke-27 Malaysia-Brunei (Annual Leaders’ Consultation – ALC-27) bersama Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah di Istana Nurul Iman esok.
Turut mengiringi Perdana Menteri ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan, serta beberapa menteri dan pegawai kanan kerajaan.
Dalam sektor tenaga, kerjasama Sarawak-Brunei terus diperkukuh menerusi usaha Sarawak Energy bersama Jabatan Perkhidmatan Elektrik Brunei bagi merealisasikan projek interkoneksi Tudan-Lumut (SPARK).
Kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelancongan turut diperkukuh menerusi penubuhan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Brunei Darussalam (STATOB) pada Oktober 2024.
ALC-27 menjadi platform tertinggi rundingan dua hala antara Malaysia dan Brunei bagi membincangkan perkembangan hubungan serta kerjasama kedua-dua negara, termasuk dalam bidang berkepentingan bersama.
/tamat/


