ARTIKEL

Presiden El-Sisi Jemput Agong, PM Lawat Mesir

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Presiden Abdel Fattah El-Sisi menjemput Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk melawat Mesir.

Undangan itu turut dipanjangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden itu, yang dalam rangka lawatan negara dua hari ke Malaysia, juga berterima kasih kepada Sultan Ibrahim atas pengurniaan Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N) awal hari ini.

“Ia menggambarkan kedalaman dan kekuatan hubungan antara kedua-dua negara kita,” katanya pada sidang media bersama Anwar, di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya hari ini.

El-Sisi turut menyentuh kerjasama dengan Malaysia dalam bidang utama termasuk tenaga dan tenaga boleh diperbaharui, pembuatan, elektronik, pertanian dan industri makanan.

Beliau berkata kedua-dua negara sedang berusaha untuk menterjemahkan hubungan dua hala yang kukuh kepada hasil ketara, dengan industri tenaga, pembuatan, elektronik, pertanian dan makanan dikenal pasti sebagai bidang utama untuk kerjasama diperluas.

Presiden itu menambah bahawa potensi kerjasama adalah penting, dengan syarat kedua-dua negara menggabungkan keupayaan mereka dengan kemahuan politik dan komitmen yang kuat.

“Saya percaya persefahaman, kepercayaan bersama dan kehendak politik timbal balik kedua-dua pihak akan meningkatkan kerjasama kita dan membawa hubungan ke tahap baharu,” katanya.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan Sabtu, Anwar dan El-Sisi mengumumkan peningkatan hubungan dua hala antara Malaysia dan Mesir kepada Perkongsian Strategik.

“Di bawah rangka kerja ini, kedua-dua pemimpin menegaskan semula minat bersama mereka untuk mempercepat usaha membina perkongsian yang lebih dinamik dan berdaya tahan merentas semua sektor, sekali gus mempromosikan kemakmuran dan kestabilan global secara bersama.

“Kedua-dua pemimpin mengakui kepentingan dialog tetap menerusi mekanisme institusi dua hala sedia ada dan dalam hal ini, bersetuju untuk mengadakan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Kedua (JCM) dan Perundingan Dua Hala Kedua (BC) pada peluang paling awal,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, El-Sisi berkata beliau dan Anwar turut membincangkan peranan penting Universiti Al-Azhar dalam pengajaran dan amalan Islam sederhana.

“Mesir menerima pelajar, lelaki dan wanita dari seluruh dunia, terutamanya dari Malaysia, yang amat kami banggakan. Mereka merupakan lelaki dan wanita muda yang cemerlang, dan kami berbangga dengan mereka dan berbangga dengan semua orang yang datang untuk menuntut pendidikan dan ilmu di Mesir.

“Kami bukan sahaja bersedia untuk menambah bilangan pelajar Malaysia, tetapi juga untuk bertukar-tukar ulama dan pendakwah, supaya mereka dapat menyebarkan kesederhanaan dan toleransi Islam di negara yang indah ini,” katanya. – BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU