SEPANG,: Presiden Myanmar Min Aung Hlaing berlepas pulang hari ini selepas menamatkan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.
Min Aung Hlaing diberikan istiadat pelepasan rasmi melibatkan kawalan kehormatan oleh Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai Kapten Wan Muhammad Amirul Syafiq Wan Zamri di Kompleks Bunga Raya (BRC), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.
Presiden Myanmar dan delegasi beliau berlepas dengan pesawat khas pada 2.10 petang.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani selaku menteri pengiring sepanjang lawatan itu mengucapkan selamat tinggal kepada delegasi tersebut.
Terdahulu, Min Aung Hlaing yang dalam lawatan dua hari ke Malaysia bermula semalam diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra pagi tadi.
Beliau mengadakan pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disusuli mesyuarat delegasi di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini sebelum menghadiri majlis makan tengah hari yang dihoskan oleh Anwar.
Semasa pertemuan itu, Malaysia dan Myanmar bersetuju untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan menumpukan kerjasama berteraskan rakyat serta menyokong usaha Myanmar dalam melaksanakan reformasi dan penyesuaian dasar yang bertujuan menangani cabaran kompleks di negara berkenaan.
Lawatan itu juga menyaksikan Myanmar bersetuju untuk menerima penghantaran pulang sejumlah besar rakyatnya daripada semua kumpulan etnik atas perbelanjaannya sendiri.
Bercakap pada sidang media bersama, Anwar berkata lebih 10,493 warganegara dan petugas Myanmar telah dihantar pulang ke negara itu setakat ini menerusi penerbangan dan kapal tentera laut, manakala penghantaran seterusnya akan dirundingkan antara Kementerian Dalam Negeri Malaysia dan kementerian berkaitan di Myanmar.
Beliau berkata baki warganegara Myanmar akan dihantar pulang mengikut peraturan dan prosedur yang ditetapkan, tertakluk kepada pengesahan rekod mereka.
Hubungan ekonomi antara Malaysia dan Myanmar turut menunjukkan potensi besar dengan aktiviti ekonomi dua hala meningkat lebih 140 peratus tahun ke tahun.- BERNAMA

