BINTULU: Pertaruhan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang meletakkan anak tempatan berketurunan etnik Vaie, Iskandar Turkee membawa kemenangan besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak apabila memperoleh majoriti 8,784 undi.
Iskandar, 54, yang merupakan bekas Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak bukan sahaja meraih undi yang sangat besar iaitu sebanyak 9,638
undi, malah membuatkan dua lawannya hilang wang deposit.
Ia apabila lawannya itu yang diibaratkan nyamuk dan semut, iaitu Chieng Lea Phing dari Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) sekadar mendapat 431 undi manakala Stevenson Joseph Sumbang dari Parti Bumi Kenyalang (PBK) mendapat 854 undi.
Bahkan, kelibat Chieng dan Stevenson turut tidak kelihatan ketika pengumuman keputusan yang dibuat di pusat penjumlahan undi di Dewan Suarah Bintulu, di sini kira-kira jam 8.30 malam ini.
Turut hadir meraikan kemenangan Iskandar ialah Premier yang juga Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Premier selaku Pengarah Operasi GPS bagi PRK DUN Jepak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Bagaimanapun dalam kemenangan besar yang dicapai GPS itu, kadar peratusan keluar mengundi lebih rendah berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12.
Ia apabila daripada seramai 22,731 orang pengundi berdaftar, hanya 48.57 peratus yang keluar mengundi di 14 Pusat Mengundi yang dibuka berbanding 62.96 peratus dalam PRN Ke-12 pada 2021.
PRK DUN Jepak diadakan susulan kematian Datuk Talib Zulpilip, yang menyandang kerusi itu selama enam penggal sejak mula dipertandingkan pada 1969.
Dalam PRN-12, Talib mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 4,243 undi apabila memperoleh 6,277 undi dalam pertandingan empat penjuru menewaskan Raba’ah Tudin dari Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang mendapat 2,034 undi, Stevenson dari PBK (587 undi) dan calon bebas, Tuan Kazan (141 undi).



