KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyatakan tiada masalah untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang berlangsung dengan 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sedia ada sekiranya penambahan 17 kerusi baharu kepada 99 kerusi keseluruhan belum dimuktamadkan pada waktunya.
Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata, ini kerana perkara tersebut bergantung kepada proses yang sedang dilaksanakan dan tempoh masa yang ada sebelum pembubaran DUN.
“Kalau 82, 82. Kalau 99, 99. Tak ada masalah kerana tidak semestinya kita pilihan raya menggunakan 99 kerusi,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan upacara pecah tanah Regency Specialist Hospital Kuching di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berkaitan perkembangan jumlah kerusi yang akan dipertandingkan pada PRN Sarawak akan datang.
Abang Johari menambah, pihaknya juga akur dengan proses sedia ada memandangkan tempoh untuk memuktamadkan penambahan kerusi baharu adalah agak terhad.
“Tempohnya sangat terhad.
Kita ikut sahaja yang sedia ada.
“Tak ada masa, yang penting adalah orang mengundi sahaja,” katanya.
Pada Julai tahun lepas, DUN Sarawak meluluskan penambahan 17 kerusi baharu, bagi menjadikan jumlah keseluruhan meningkat daripada 82 kepada 99 kerusi.
Bagaimanapun, penambahan kerusi baharu itu kemungkinan sukar untuk digunakan dalam PRN Sarawak akan datang, yang dijangka berlangsung menjelang akhir tahun ini atau awal 2027 berikutan proses kelulusannya yang memerlukan masa.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan berkata, beliau dan Menteri Kerja Raya yang juga Setiausaha Agung GPS Datuk Seri Alexander Nanta Linggi telah membangkitkan isu tersebut dalam mesyuarat jemaah menteri.
Susulan itu, jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmen untuk melaksanakan cadangan persempadanan semula bagi menambah kerusi DUN Sarawak itu.
Menurutnya, Perdana Menteri juga meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan laporan terkini berhubung perkara itu.


