SIBURAN: Anak muda Sarawak, khususnya dari kawasan luar bandar dan pinggir bandar, perlu dibekalkan dengan panduan jelas dalam merancang hala tuju masa depan agar tidak tercicir daripada arus pembangunan negeri.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara dan Jalan), Datuk Dr Jerip Susil, berkata Program Project of Dreams Realised (PRO-DR) berperanan membuka peluang pendedahan kepada pendidikan tinggi dan latihan kemahiran, sekali gus membantu golongan belia mengenal pasti minat serta potensi kerjaya masing-masing.
“Kadangkala selepas tamat persekolahan, anak muda tidak benar-benar tahu apa yang mereka mahu capai dalam hidup.
Namun, apabila didedahkan dengan peluang melalui program seperti ini, mereka mungkin menemui minat sebenar dan mampu merancang masa depan dengan lebih jelas,” katanya pada sidang media Jelajah PRO-DR 2025 peringkat Siburan di Pejabat Daerah Siburan, hari ini.
Beliau berkata, program tersebut turut mendapat sokongan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), yang turut dipengerusikannya selaku Timbalan Pengerusi.
“Kita mahu melahirkan generasi muda yang celik teknologi dan berwawasan.
Justeru, TEGAS ditubuhkan sebagai badan khusus melaksanakan pelbagai inisiatif serta program berteraskan inovasi dan membuka ruang belia mendekati peluang masa depan,” ujarnya.
Tambah beliau, pendekatan bermula dari bangku sekolah amat penting kerana pendedahan awal boleh mempengaruhi arah tuju kehidupan belia.
“Melalui program ini, kita mula melihat perubahan sikap dan pemikiran anak muda — mereka lebih fokus dan sedar akan pilihan yang tersedia.
Walaupun belum ada penilaian menyeluruh, kita sudah melihat hasilnya apabila ada peserta berjaya ke peringkat antarabangsa dalam bidang seperti robotik dan inovasi,” katanya.
Jelajah PRO-DR peringkat Siburan yang dijadual berlangsung 20 Ogos ini di Dewan Komuniti Siburan bakal menghimpunkan 33 agensi dan institusi yang menawarkan maklumat berkaitan pendidikan tinggi serta latihan kemahiran. Turut serta beberapa syarikat swasta yang menawarkan peluang pekerjaan termasuk sesi temuduga secara langsung.
Lebih menarik, tujuh sekolah menengah dari sekitar Siburan turut mengambil bahagian bagi memberi pendedahan awal kepada para pelajar tentang hala tuju pendidikan dan kerjaya.
Dr Jerip menyeru penduduk di seluruh Bahagian Serian, khususnya dari Daerah Padawan, agar hadir dan memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan.
“Gunakan kesempatan ini untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang pendidikan dan kerjaya.
Ajukan soalan secara terus kepada wakil institusi yang hadir, terutamanya jika anda masih keliru tentang langkah seterusnya untuk masa depan anak-anak,” katanya.
Beliau turut menyuarakan harapan agar lebih ramai anak muda luar bandar tampil sebagai pemimpin dalam bidang teknologi, inovasi dan keusahawanan.
“Ini merupakan pelaburan terbaik untuk masa depan Sarawak.
Kepada mereka yang sedang mencari pekerjaan, PRO-DR boleh menjadi titik mula kepada kerjaya anda. Jangan lupa bawa bersama resume dan sijil berkaitan, serta berpakaian kemas,” katanya.
KAPSYEN Gambar: Datuk Dr Jerip Susil menunjukkan banting PRO-DR 2025 peringkat Siburan selepas sidang media.


