ARTIKEL

Datuk Len Talif dan jemputan mengabadikan kenangan bersama pelajar SMK Belawai sejurus selesai program.

Pro-DR dekati belia Sarawak dengan peluang pendidikan dan kerjaya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

TANJUNG MANIS: Lebih sedekad dilaksanakan, Program Jelajah Pendidikan Pro-DR terus menjadi wadah penting dalam mendekatkan pelajar dan golongan muda Sarawak dengan maklumat berkaitan pendidikan, latihan kemahiran serta prospek kerjaya.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, berkata kesinambungan itu membuktikan pendekatan turun padang masih relevan dalam memastikan golongan muda, terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar, tidak ketinggalan dalam mendapatkan maklumat pendidikan.

Katanya, program itu menyediakan ruang kepada pelajar untuk berinteraksi secara langsung dengan wakil institusi pendidikan dan agensi berkaitan bagi memahami pelbagai pilihan yang tersedia selepas menamatkan persekolahan.

“Golongan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), khususnya, boleh menggunakan kesempatan ini untuk mendapatkan penjelasan mengenai pilihan melanjutkan pengajian, program kemahiran dan bantuan pendidikan yang boleh dipohon.

“Maklumat yang diperoleh secara terus seperti ini penting supaya mereka dapat menilai pilihan berdasarkan pencapaian akademik, minat serta bidang yang ingin diterokai,” katanya kepada media selepas merasmikan Jerayawara Pro-DR di Sekolah Menengah Kebangsaan Belawai, di sini, hari ini.

Len Talif berkata kelangsungan Pro-DR turut diperkukuh melalui kerjasama Jabatan Pendidikan, institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) serta pelbagai agensi kerajaan yang terus memberikan sokongan terhadap pelaksanaannya.

Menurutnya, penglibatan pelbagai pihak dalam satu program bukan sesuatu yang mudah kerana faktor jarak, keluasan Sarawak serta cabaran logistik perlu diambil kira bagi memastikan penyertaan dapat dihimpunkan di setiap lokasi.

“Bagaimanapun, Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) berjaya memainkan peranan penting dalam memastikan program ini dapat diteruskan secara berterusan dan sampai kepada kumpulan sasaran di pelbagai kawasan,” katanya.

Beliau berkata skop jelajah Pro-DR juga semakin diperluaskan dengan program berkenaan kini menjangkau kawasan dari Lawas hingga Lundu, sekali gus membuka lebih banyak ruang kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat berkaitan pendidikan, latihan serta peluang pembangunan kerjaya.

Katanya, peluasan capaian itu amat penting bagi memastikan pelajar di kawasan luar bandar turut mempunyai peluang yang sama untuk mengetahui pilihan pendidikan dan bantuan yang boleh membantu mereka merancang masa depan.

“Gunakan sepenuhnya peluang yang disediakan menerusi Pro-DR dengan mengemukakan sebanyak mungkin soalan dan mendapatkan maklumat yang sahih sebelum menentukan pilihan kerana keputusan yang dibuat hari ini boleh menjadi asas kepada perjalanan pendidikan dan kerjaya pada masa depan,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU