Pro Reformists 98 Sarawak lapor polis terhadap kenyataan Fadillah

KUCHING: Pro Reformists 98 Sarawak membuat laporan polis pagi ini terhadap Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Fadillah Yusof, berhubung kenyataannya bahawa kuasa Imigresen termasuk Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) Sarawak akan terhapus jika Pakatan Harapan (PH) menguasai Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Laporan dibuat oleh pengerusi Pro Reformists 98 Sarawak, Iswardy Morni bersama ketua-ketua cawangan dari Batang Sadong, Saribas, Kota Samarahan dan Petra Jaya.

Menurut Iswardy, tujuan mereka adalah supaya polis mengambil tindakan undang-undang ke atas Fadillah di atas kenyataannya itu yang berbaur hasutan dan boleh menggugat ketenteraman awam.

Tegasnya ia adalah kesalahan di bawah Akta Hasutan dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

“Kita bebas berpolitik, bebas menyebut hak-hak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan bebas mengatakan hak apa pun tetapi jangan menghasut rakyat.

“Kenyataan seperti ini boleh mewujudkan ketidaktenteraman dan keresahan awam, malah bagi orang yang tidak faham ia boleh menyebabkan rusuhan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Simpang 3 di sini.

Iswardy berkata sebagai ahli politik yang berpengalaman, Fadillah sepatutnya mengamalkan politik sihat.

“Kalau dapat, kita di Sarawak harus mengelakkan mainan politik yang diamalkan di Semenanjung Malaysia.

“Kalau PH tidak betul, sebut apa yang tidak beri dengan fakta yang benar kerana kita tahu PH juga tidak sempurna,” katanya.

Selain laporan polis oleh Iswardy, beberapa laporan susulan juga akan dibuat oleh ketua-ketua cawangan Pro reformists 98 Sarawak Batang Sadong, Saribas dan Kota Samarahan terhadap kenyataan Fadillah itu.

Di Baram, satu laporan polis turut dibuat oleh ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi mendesak Fadillah menarik balik kenyataannya itu.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, dilaporkan berkata hak dan kuasa Sarawak seperti imigresen serta OMO adalah yang pertama dihapuskan jika PH menguasai DUN Sarawak selepas Pilihan Raya Negeri akan datang.

Beliau menyatakan demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Seminar MA63 Peringkat Parlimen Santubong di Pusat Konvensyen Penview di sini, Ahad lalu.