ARTIKEL

RAMPAS — Pelbagai produk daging babi sejuk beku bernilai RM6.19 juta dirampas dalam Op Taring Chiller pada 9 Julai lalu.

Produk daging babi tanpa permit bernilai RM6.19 juta dirampas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Pelbagai produk daging babi sejuk beku bernilai RM6.19 juta dirampas dalam Op Taring Chiller selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerbu sebuah gudang penyimpanan makanan sejuk beku di sini yang dipercayai mengimport produk berkenaan tanpa permit.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dalam operasi bersepadu itu, seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

“Operasi yang dijalankan pada jam 8 malam, 9 Julai lalu hasil risikan serta maklumat berhubung sebuah gudang yang dipercayai menyimpan pelbagai produk makanan sejuk beku yang diimport tanpa permit.

“Ia dilaksanakan oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), JKDNKA Bukit Aman dengan kerjasama Cawangan Unit Kereta Peronda (MPV), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak Miri,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata hasil pemeriksaan menemukan pelbagai produk daging babi sejuk beku, antaranya usus besar yang telah dimasak, bahagian pinggang, bahagian perut bersama tulang dan kulit serta bahagian bahu, dengan anggaran berat keseluruhan lebih 61 tan.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM6,197,060.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kes itu disyaki melanggar Seksyen 9(1) dan Seksyen 9(3) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 kerana mengimport produk tanpa permit yang sah.

“Selain rampasan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar turut mengeluarkan kompaun berjumlah RM25,000 mengikut peruntukan ordinan yang sama,” katanya.

Mohd Yusri berkata operasi itu mencerminkan komitmen berterusan PDRM dalam memperkukuh penguatkuasaan terhadap kegiatan penyeludupan dan penyimpanan makanan sejuk beku yang tidak mematuhi peraturan, termasuk produk yang status halalnya tidak dapat dipastikan.

Beliau berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 10 Julai 2026, WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman melaksanakan 201 serbuan di seluruh negara dengan 375 individu ditahan atas pelbagai kesalahan membabitkan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, makanan sejuk beku, hidupan liar serta sisa elektronik.

“Sepanjang tempoh itu, nilai keseluruhan rampasan yang direkodkan di seluruh negara dianggarkan mencecah RM264.86 juta.

“PDRM akan terus memperhebat risikan, pemantauan dan operasi penguatkuasaan secara bersepadu bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta jenayah terancang demi menjamin keselamatan negara dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan atau jenayah kepada pihak polis bagi membantu usaha penguatkuasaan yang sedang dilaksanakan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Rakyat protes dasar berat sebelah

BANGKOK: Ratusan penunjuk perasaan berhimpun berhampiran Pusat Konvensyen Nasional Queen Sirikit (QSNCC) pada Khamis bagi membantah dasar Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang

Geran pemula bantu usahawan muda Sarawak

KUCHING: Usahawan belia di Sarawak berpeluang memohon geran sehingga RM15,000 menerusi Geran SYStartUP bagi membantu menampung kos permulaan dan pembangunan perniagaan masing-masing. Timbalan Menteri Belia,