ARTIKEL

Datuk Seri Nancy Shukri (dua dari kiri) mengagumi busana ‘marik ujan’ masyarakat Iban dari Rajang. (Foto: Ramidi Subari)

Produk warisan Dayak perlu diperkasa sebagai produk komersial

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Produk warisan masyarakat Dayak perlu diperkasa sebagai produk komersial bernilai tinggi supaya mampu menembusi pasaran kebangsaan dan antarabangsa.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, produk tradisional tidak seharusnya hanya dilihat sebagai warisan yang perlu dipelihara, sebaliknya perlu dibangunkan menerusi inovasi, teknologi, pemasaran moden serta pengurusan perniagaan yang baik.

“Pendekatan berkenaan penting bagi memastikan kemahiran dan warisan yang dimiliki wanita Dayak dapat diterjemahkan kepada peluang ekonomi yang berdaya tahan,” katanya.

“Sudah tiba masanya kita memberi perhatian kepada aspek ekonomi; produk ini bukan sekadar dihasilkan, sebaliknya perlu dimanfaatkan secara komersial supaya lebih dikenali dan mendapat permintaan pasaran,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian PERANTIS Pendaya 2.0 (2026) di Menara Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI), di sini, hari ini.

Nancy berkata, beliau melihat semakin banyak produk baharu dan pelbagai dihasilkan oleh usahawan wanita Dayak, sekali gus menunjukkan keupayaan mereka mengembangkan warisan budaya kepada produk yang mempunyai nilai komersial.

“Produk seperti pua kumbu dan barangan berasaskan rotan turut mempunyai daya tarikan dalam kalangan pengguna luar negara berdasarkan pengalaman saya melihat minat pengunjung antarabangsa terhadap produk tradisional Sarawak,” katanya.

“Saya berharap dapat melihat lebih ramai daripada anda pergi ke luar negara untuk memasarkan produk masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, gabungan identiti tempatan yang kukuh dengan pengurusan korporat yang baik serta kualiti produk yang tinggi mampu membuka ruang lebih luas kepada usahawan wanita Dayak untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Dalam pada itu, Nancy menggesa usahawan wanita supaya memperkukuh jaringan dan berkongsi kepakaran bagi membantu antara satu sama lain mengembangkan perniagaan.

“Ramai lagi yang mempunyai pengetahuan berbeza; berkongsilah dan minta mereka berkongsi dengan anda, atau anda pula berkongsi dengan mereka,” katanya.

Nancy berkata, peserta PERANTIS Pendaya 2.0 turut menerima latihan praktikal dan bimbingan mentor bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan masing-masing.

Katanya, peserta juga dibimbing menyediakan pelan tindakan 90 hari sebagai komitmen kepada diri sendiri untuk menetapkan sasaran yang jelas dan memastikan tindakan susulan dilaksanakan.

Nancy berkata, program PERANTIS telah membimbing 1,247 peserta melalui 25 tokoh wanita sejak 2024, merangkumi 10 bidang iaitu kepimpinan, politik, ekonomi, sosial, teknologi, perundangan, keselamatan, kesejahteraan, pendidikan dan kesihatan.

Beliau berkata, impak program itu turut dapat dilihat apabila ilmu yang dikongsi peserta dikembangkan kepada orang lain, termasuk seorang peserta yang berjaya melatih 20 jurusolek yang kemudiannya terlibat menyediakan perkhidmatan solekan untuk 30 pasangan dalam satu majlis perkahwinan beramai-ramai.

Nancy turut berharap lebih ramai wanita Sarawak menyertai program PERANTIS pada masa akan datang.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU