JULAU: Ahli Parlimen Julau merangkap Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Datuk Larry Sng Wei Shien, menyerahkan RM85,000 kepada lapan penerima pada Program Pemimpin Bersama Rakyat yang diadakan di Rumah Felix Jalin, Bukit Seri, Entabai, bagi memperkasa masyarakat serta membangunkan kawasan luar bandar.
Dana itu disalurkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Bayang, Masit; JKKK Rumah Mauwa, Masit; JKKK Rumah Lanak, Masit; JKKK Rumah Buking, Tanjong Nibong, Kakop; JKKK Rumah Maggie, Kakop; JKKK Rumah Felix Jalin, Bukit Seri; Biro Wanita Rumah Buking; Biro Wanita Rumah Felix Jalin; serta projek Starlink Rumah Jalin.
Berucap pada program tersebut, Larry berkata program bersama rakyat amat penting kerana memberi peluang kepadanya mendengar permintaan dan keperluan rakyat, selain menjelaskan rancangan pembangunan yang telah dilaksanakan dan akan diteruskan di kawasan berkenaan.
Beliau berkata semua projek yang diperuntukkan peruntukan berjumlah RM43,000 di Rumah Felix Jalin pada 2024 telah siap dan memberi manfaat kepada penduduk kampung.
Dalam ucapannya, beliau turut menyentuh beberapa projek yang dibiayai Kerajaan Persekutuan, termasuk pembinaan jalan ke SK Nanga Jambu, bagi membolehkan rakyat mengetahui perkembangan projek yang sedang dilaksanakan.
Beliau turut menjelaskan perbezaan antara projek Kerajaan Persekutuan dan projek Kerajaan Sarawak, dengan projek Kerajaan Persekutuan menggunakan simbol Harimau, manakala projek Kerajaan Sarawak menggunakan simbol Kenyalang.
Menurutnya, penjelasan itu penting bagi membantu rakyat memahami sumber pembiayaan serta agensi yang bertanggungjawab terhadap setiap projek pembangunan.
Larry berharap semua tuai rumah dapat terus menyampaikan maklumat kepada penduduk di kawasan masing-masing supaya tidak timbul kekeliruan mengenai projek pembangunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.
Pada akhir program, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terus memberikan kepercayaan dan sokongan kepadanya serta menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan rakyat agar lebih banyak projek pembangunan dapat dibawa ke Julau.


