KUCHING: Program Bicara Ilmiah Wanita (BIWANI) yang menjadi antara tarikan utama sempena Festival Maal Hijrah 1448H/2026M (FMH26) mengupas mengenai peranan wanita sebagai agen perubahan dalam membentuk masyarakat yang berilmu, berakhlak dan istiqamah dalam kehidupan berlandaskan syariat Islam.
Majlis ilmu berkenaan berjaya menghimpun kira-kira 500 peserta dalam kalangan wanita bagi membincangkan tajuk “Hijrah Wanita: Istiqamah ke Syurga” dalam suasana yang penuh pengisian bermakna.

Program tersebut sekali gus menjadi platform penting dalam usaha memperkasa pengisian ilmiah serta pembangunan sahsiah wanita di Sarawak.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali turut hadir memeriahkan program berkenaan hari ini.
Program anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) itu dikendalikan oleh Shamsiah Mahli selaku moderator.
Dua ahli panel wanita yang dijemput bagi mengupas topik berkenaan ialah Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail dan Liyana Musfirah.
Turut hadir Pengerusi HELWA HIKMAH Toh Puan Hayati Ahmat serta isteri Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS Nik Nurizan Nik Jaafar bersama-sama pengurusan kanan LAKMNS.
Dalam perkembangan sama, orang ramai dijemput hadir ke Dewan Serbaguna Taman Sukma dari 12 hingga 21 Jun 2026 bagi memeriahkan FMH26 sekali gus menyemarakkan semangat penghayatan Maal Hijrah dalam kalangan masyarakat.


