SELANGAU: Program Bantuan Lesen Memandu (BLM) Motosikal Kelas B2 dirancang dilaksanakan di Selangau dan Tamin, termasuk Bintulu.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menerusi kenyataan, berkata satu mesyuarat penyelarasan bagi pelaksanaan program itu diadakan hari ini, yang dianjurkan oleh Parlimen Selangau dan DUN Tamin, khusus untuk memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar di kawasan terlibat.
Katanya, mesyuarat itu dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Selangau Yalin Asan dan turut dihadiri Ketua Bahagian Pelesenan Pemandu, Yusniman Mohammad, yang menyampaikan taklimat berkaitan prosedur pelaksanaan dan pematuhan kepada garis panduan JPJ Malaysia.
Institut memandu yang terlibat bagi menjayakan program itu ialah Institut Memandu Ngu Chung Beng & Sons Sdn. Bhd.
“Program BLM Kelas B2 ini bertujuan membantu golongan belia dan berpendapatan rendah mendapatkan lesen memandu secara sah, seterusnya meningkatkan keselamatan jalan raya serta membuka peluang mobiliti dan ekonomi kepada masyarakat setempat,” katanya.
Pada masa sama, JPJ Sarawak berkata mesyuarat bagi pelaksanaan program itu turut diadakan di Bintulu, anjuran Parlimen Bintulu bagi menyelaras gerak kerja serta memastikan pelaksanaan program dilaksanakan secara teratur, sistematik dan mencapai objektif yang ditetapkan.
Mesyuarat itu dipengerusikan Yusniman, dengan taklimat pelaksanaan program disampaikan oleh Ketua Unit Pelesenan Pemandu JPJ Cawangan Bintulu, Norhayati Rezali bagi memperincikan aspek prosedur, syarat penyertaan, jadual pelaksanaan serta pematuhan kepada Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP).
“Diharapkan penganjuran program ini dapat memberi manfaat optimum kepada golongan sasar, khususnya belia dan golongan B40 dalam pemilikan lesen memandu yang sah serta menyumbang kepada peningkatan tahap keselamatan jalan raya di kawasan Bintulu dan sekitarnya,” katanya.


