MUKAH: Program Gunting Rambut Percuma bukan sahaja memberi manfaat kepada anak-anak, malah turut memberi peluang kepada tukang gunting rambut menambah pendapatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, inisiatif tersebut sekali gus membantu meningkatkan pendapatan mereka menjelang sesi persekolahan.

Menurutnya, program itu mendapat sambutan menggalakkan daripada anak-anak, manakala ibu bapa turut menyokong usaha berkenaan.
“Di samping itu, program ini turut meringankan beban kewangan keluarga, membantu persiapan sebelum sesi persekolahan serta memupuk semangat kebersamaan dan keprihatinan sosial dalam kalangan komuniti setempat.
“Pada masa sama, ia juga bertujuan mendekatkan wakil rakyat dengan rakyat melalui pendekatan turun padang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Gunting Rambut Percuma di Dewan Serbaguna Kampung Teh, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, katanya, program tersebut merupakan anjuran Pusat Khidmat N58 Balingian dengan kerjasama Pergerakan Pemuda PBB Cawangan N58 Balingian dan SABERKAS Cawangan Balingian.
Ujarnya, seramai lebih 500 orang anak-anak menyertai program itu melibatkan tujuh lokasi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian, iaitu Kampung Kuala Balingian, Kampung Sungai Alo, Kampung Sau, Kampung Sesok Baru, Kampung Jebungan, Kampung Teh dan Kampung Tutus Hilir.
Dalam pada itu, Yakub berharap agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan kerana memberi manfaat kepada ramai pihak.




