DARO: ADUN Daro, Dr Safiee Ahmad menyempurnakan Program Ihya Ramadan 2026 Kampung Penasu di Dewan Kampung Penasu, semalam.
Program tersebut diadakan bagi menyemarakkan penghayatan ibadah serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat tanpa mengira latar belakang.


Pengagihan bubur lambuk kepada penduduk kampung menjadi simbolik program sekali gus tanda kebersamaan dan semangat berkongsi rezeki sepanjang Ramadan.
Aktiviti tersebut turut mencerminkan nilai keprihatinan dan semangat gotong-royong yang menjadi amalan masyarakat di kawasan luar bandar.
Sehubungan itu, bacaan doa dan tahlil turut diadakan bagi memohon keberkatan, kesejahteraan serta keselamatan untuk seluruh penduduk Kampung Penasu dan kawasan sekitarnya.
Seterusnya, majlis berambih berbuka puasa dilaksanakan bagi memberi peluang kepada penduduk kampung berkumpul, bertukar khabar dan mengeratkan hubungan kekeluargaan serta perpaduan komuniti.
Kehadiran Safiee dalam program tersebut mencerminkan komitmen berterusan beliau untuk mendekati rakyat serta menyokong program berteraskan keagamaan dan kemasyarakatan di kawasan Daro.
Beliau berharap agar program seperti ini dapat diteruskan dan dianjurkan pada masa hadapan.

