LUNDU: Program Juh Sungke Daerah Lundu 2026 berjaya menghimpunkan lebih 2,000 pengunjung sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.
Program julung kali diadakan di daerah ini merupakan anjuran bersama Pejabat Daerah Lundu, Kementerian Pembangunan Belia, Sukan dan Usahawan Sarawak (MYSED) dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) selain menjadikan Lundu sebagai salah satu daripada lima lokasi utama penganjuran program tersebut di seluruh Sarawak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, program berkonsepkan perkelahan dan amalan ‘potluck’ itu memberi ruang kepada masyarakat berkumpul serta berbuka puasa bersama, selain menyemai semangat gotong-royong dan perpaduan dalam kalangan komuniti.
“Program seperti ini mencerminkan semangat perkongsian rezeki dan kebersamaan dalam masyarakat tanpa mengira latar belakang,” katanya ketika berucap pada Program Juh Sungke Daerah Lundu 2026.

Tambah Ahli Parlimen Santubong berkata, seramai 600 penerima zakat di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Santubong dikenal pasti menerima bantuan zakat pada tahun ini.
“Daripada jumlah itu, seramai 200 orang asnaf di DUN Tanjong Datu menerima sumbangan wang zakat sebagai tanda keprihatinan kepada golongan memerlukan,”ujarnya.

Sebanyak 1,033 bakul makanan disumbangkan oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Alliance Bank, PEKEMA dan PETRONAS bagi membantu meringankan beban isi rumah yang memerlukan di kawasan Parlimen Santubong.
Bagi program itu, sebanyak 300 bakul makanan diagihkan kepada penerima asnaf melibatkan sumbangan MYSED sebanyak 50 bakul makanan, Pusat Khidmat N3 Tanjung Datu sebanyak 50 bakul makanan serta YKN sebanyak 200 bakul makanan.
Nancy berkata, sebanyak RM122,000 telah disalurkan kepada sembilan masjid dan lapan surau di kawasan Parlimen Santubong bagi menyokong pelbagai aktiviti keagamaan serta program kemasyarakatan sepanjang Ramadan.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM20,000 disalurkan kepada dua masjid dan sebuah surau di kawasan DUN Tanjong Datu.
Beliau turut menggalakkan jawatankuasa masjid dan surau yang belum mengemukakan permohonan agar menghantar permohonan rasmi bagi mendapatkan bantuan berkenaan.
Program tersebut turut diserikan dengan cabutan bertuah hasil sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.1 Opar dan MYSED yang menambahkan lagi kemeriahan majlis. – PENERANGAN


