ARTIKEL

Fatimah ketika menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Aspirasi Pemulihan Prospek Kuching, hari ini.

Program LIFE bantu 370 keluarga jana pendapatan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Bukan sekadar bantuan peralatan, Program Pemerkasaan Keluarga Berpendapatan Rendah (LIFE) menjadi pemangkin kepada golongan berpendapatan rendah untuk berdikari dan membina semula kehidupan menerusi aktiviti penjanaan pendapatan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata kejayaan program itu tidak hanya diukur berdasarkan bantuan yang disalurkan, tetapi kemampuan peserta meneruskan usaha, meningkatkan pendapatan dan berdikari.

Seramai 370 peserta dari 11 bahagian di seluruh Sarawak menerima bantuan menerusi Program LIFE bagi tempoh 2023 hingga 2025.

“Program LIFE merupakan antara inisiatif Kerajaan Sarawak bagi membantu golongan berpendapatan rendah menjana pendapatan dan meningkatkan taraf kehidupan melalui bantuan peralatan yang disesuaikan dengan aktiviti penjanaan pendapatan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Persatuan Aspirasi Pemulihan Prospek Kuching, di sini, hari ini.

Kunjungan itu diketuai oleh Ketua Bahagian Kepenjaraan dan Koreksional, Pejabat Pengarah Penjara Negeri Sarawak, Penguasa Penjara Saiful Mohamad, bersama Pengerusi Persatuan Aspirasi Pemulihan Prospek Kuching, Adillah Ismail.

Pertemuan itu turut menjadi platform memperkukuh kerjasama dalam memantau dan menyokong perkembangan peserta Program LIFE, termasuk golongan prospek yang sedang membina kehidupan baharu selepas kembali menyertai masyarakat.

Pada kunjungan itu, empat peserta LIFE turut berkongsi perkembangan, pengalaman dan cabaran selepas menerima bantuan menerusi program berkenaan.

Mereka masing-masing terbabit dalam bidang fotografi, pastri dan katering serta jahitan, selain merancang mengembangkan perniagaan yang sedang dijalankan.

Fatimah turut menghargai peranan Persatuan Aspirasi Pemulihan Prospek Kuching dalam memantau serta menyokong perkembangan peserta supaya bantuan yang diterima dapat dimanfaatkan secara berterusan.

Katanya, kerjasama antara kerajaan, pejabat daerah, agensi berkaitan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi komuniti penting bagi memastikan peserta mendapat sokongan yang diperlukan untuk meneruskan serta mengembangkan usaha masing-masing.

Justeru, beliau berharap kerjasama itu dapat diteruskan bagi memastikan manfaat Program LIFE dirasai oleh peserta dan keluarga mereka, di samping menggalakkan peserta meningkatkan kemahiran, memanfaatkan bantuan sebaik-baiknya serta terus berusaha meningkatkan pendapatan dan taraf hidup keluarga.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU

Chip semikonduktor ngaga meter karan

KUCHING: SMD Semiconductor deka nanggam kerejasama enggau siti kompeni ari China dikena ngadu langkar tengkebang chip semikonduktor Sarawak dikena ngaga meter karan. Premier Sarawak, Datuk

Projek jematan Sarawak diaku

KUALA LUMPUR: Jematan Muara Lassa di Bagi Menua Mukah nurai pemujur ngemegah ati pengudah Opis Kereja Raya (JKR) Sarawak menang kategori projek besai lebuh Road