BINTANGOR: Program MyLesen bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong bakal dilaksanakan bermula Ogos hingga November ini dengan sasaran penyertaan seramai 1,500 orang peserta.
Ahli Dewan Undangan Negeri Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, berkata pelaksanaan program itu mendapat kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) dan merupakan satu inisiatif penting bagi membantu golongan muda mendapatkan lesen motosikal kelas B2.
“Pelajar berumur 16 tahun ke atas dialu-alukan menyertai program ini yang bukan sahaja memberikan peluang untuk memiliki lesen, malah dapat mengurangkan beban kewangan ibu bapa kerana yuran yang dikenakan hanyalah RM250 sahaja,” katanya selepas menerima kunjungan hormat Ketua Cawangan JPJ Sarikei, Yusuf Andan, di pejabatnya di sini, hari ini.
Menurut beliau, program itu akan dijalankan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kai Chung, manakala ujian bertulis akan berlangsung di Dewan Masyarakat Bintangor.
Borang penyertaan boleh diperoleh di Pusat Khidmat DUN N.46 Meradong dan juga di Kedai Motorsikal Ing Motor, Sarikei, bagi mereka yang berminat menyertai program berkenaan.
Selepas pertemuan tersebut, beliau turut melakukan tinjauan ke lokasi pelaksanaan program, iaitu di Dewan SMK Kai Chung serta kawasan Halaman Dewan Masyarakat Bintangor.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan SMK Kai Chung atas kesediaan memberi kerjasama dan kemudahan ruang bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program.

