MIRI: Program Pandu Puteri Renjer Peringkat Negeri Sarawak 2026 menjadi platform penting dalam melahirkan remaja perempuan yang berdisiplin, berkemahiran dan bertanggungjawab melalui latihan kepimpinan serta khidmat masyarakat.
Ketua Pesuruhjaya Cawangan Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) Cawangan Sarawak, Ruth Sibat @ Nur Mithali Abdullah berkata, majlis yang berlangsung selama tiga hari bermula 6 hingga 8 Februari itu diadakan di Miri dengan penyertaan seramai 50 orang ahli Pandu Puteri Renjer dari daerah Miri dan Limbang.
“Penganjuran majlis ini bertujuan memberi peluang kepada ahli-ahli Pandu Puteri Renjer menjalani latihan kepimpinan, bekerjasama dalam pasukan serta membentuk jati diri sebagai remaja yang bertanggungjawab dan prihatin terhadap masyarakat.
“Majlis ini turut memilih dan melatih wakil serta jawatankuasa Majlis Pandu Puteri Renjer Sarawak 2026 yang akan mewakili negeri ke peringkat kebangsaan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Tambahnya, antara pengisian utama program ialah aktiviti khidmat masyarakat termasuk gotong-royong membersihkan kawasan Pantai Marina Bay sebagai usaha memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar dan tanggungjawab sosial.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Bandaraya Miri atas kerjasama dan sokongan yang diberikan, termasuk peluang melawat premis majlis bandaraya serta menjalankan aktiviti pembersihan pantai.
“Saya percaya melalui program ini, ahli-ahli Pandu Puteri Renjer telah memperoleh kemahiran dan pengalaman berguna yang akan membentuk mereka menjadi individu yang lebih bertanggungjawab pada masa hadapan,” tambahnya.
Penganjuran Majlis Pandu Puteri Renjer Peringkat Negeri Sarawak akan diteruskan pada tahun hadapan dan dijangka diadakan di daerah lain sebagai usaha memperluaskan penglibatan ahli di seluruh negeri.—TVS


