SARIKEI: Sambutan Pra Krismas Komuniti Ulu Entaih berlangsung meriah apabila lebih 1,000 penduduk membanjiri Dewan Terbuka Dato Rolland Duat anak Jubin di Ulu Entaih, Julau, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Datuk Rolland Duat Jubin berkata, kehadiran luar biasa penduduk jelas membuktikan tahap perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat setempat.
Menurut beliau, sambutan tersebut turut menjadi simbol kejayaan kerjasama erat antara semua pihak penganjur dalam merealisasikan penganjuran program berkenaan.
“Penganjuran ini membuktikan bahawa persefahaman dan perpaduan dapat dipupuk melalui ajaran agama yang baik, selain mengukuhkan hubungan harmoni dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis perasmian program berkenaan.

Rolland turut berharap agar suasana harmoni serta semangat muafakat yang terjalin dalam kalangan penduduk dapat dikekalkan secara berterusan pada masa akan datang.
Menurutnya, semua pihak termasuk gereja, komuniti, ketua-ketua kaum dan rakyat perlu terus memainkan peranan masing-masing serta berganding bahu demi mengekalkan keharmonian masyarakat.
Katanya, penganjuran program seumpama itu merupakan platform terbaik untuk menyatukan komuniti selain menyemai nilai kesejahteraan serta sikap saling hormat-menghormati antara satu sama lain.
“Sehubungan itu, saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada penduduk setempat atas sokongan padu sehingga program ini berjaya menarik kehadiran yang amat memberangsangkan,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Komuniti Ulu Entaih, Kennedy Ating Lansam berkata, beliau tidak menjangka sambutan luar biasa yang diterima daripada penduduk sepanjang penganjuran program tersebut.
Menurut beliau, semua aktiviti yang diadakan sepanjang dua hari penganjuran, termasuk majlis makan malam, mendapat sambutan amat menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Antara aktiviti yang dianjurkan ialah Pertandingan Bola Sepak dan Sepak Takraw Terbuka Piala YB Dato Rolland, karaoke terbuka, Pertandingan Ratu Kebaya, Pertandingan Sukaneka Komuniti, tarian poco-poco serta persembahan artis tempatan.


