ARTIKEL

Johnny Pang melakukan simbolik penutupan Program RYTHM: Ritma Kehidupan Harmoni – Program Terapi OKU Peringkat Bahagian Bintulu.

Program RYTHM perkasa penyertaan OKU dalam komuniti

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Program RYTHM: Ritma Kehidupan Harmoni memperkasa penyertaan OKU dalam komuniti.

BINTULU: Usaha memperkasakan golongan orang kurang upaya (OKU) perlu diteruskan menerusi penyediaan lebih banyak ruang dan peluang untuk mereka terlibat secara aktif dalam kehidupan bermasyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, pembentukan masyarakat inklusif tidak hanya bergantung kepada penerimaan terhadap golongan OKU, tetapi turut memerlukan komitmen semua pihak dalam memastikan mereka diberi peluang sama rata untuk menyertai aktiviti sosial, pendidikan dan kemasyarakatan.

Menurutnya, setiap individu mempunyai kebolehan dan potensi tersendiri yang boleh menyumbang kepada pembangunan komuniti sekiranya diberikan sokongan serta persekitaran yang sesuai.

“Setiap individu mempunyai kebolehan, kekuatan dan potensi masing-masing, begitu juga dengan golongan OKU.

Johnny Pang menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta Program RYTHM: Ritma Kehidupan Harmoni – Program Terapi OKU Peringkat Bahagian Bintulu.

“Apa yang penting ialah kita terus menyediakan ruang, peluang dan sokongan supaya mereka dapat mengambil bahagian secara aktif dalam masyarakat,” katanya ketika berucap pada penutupan Program RYTHM: Ritma Kehidupan Harmoni – Program Terapi OKU Peringkat Bahagian Bintulu di sini, pada Ahad.

Johnny Pang berkata, program berkenaan menjadi contoh bagaimana kerjasama antara institusi pendidikan, agensi kerajaan dan pertubuhan masyarakat dapat membantu meningkatkan penyertaan golongan OKU dalam komuniti melalui aktiviti terapi, interaksi sosial dan pembangunan diri.

Menurutnya, selain memberi manfaat kepada peserta OKU, program seumpama itu turut membantu membentuk masyarakat yang lebih prihatin dan memahami keperluan golongan berkenaan.

Beliau berkata, penglibatan pelajar institusi pengajian tinggi, pelatih pendidikan teknikal dan sukarelawan dalam program tersebut memberi peluang kepada mereka untuk memahami cabaran yang dihadapi golongan OKU secara lebih dekat.

“Nilai prihatin dan semangat kesukarelawanan bukan sesuatu yang hanya boleh dipelajari di dalam bilik kuliah.

“Kita perlu turun padang, berinteraksi dan belajar memahami keperluan orang lain.

“Daripada situlah kita belajar tentang empati, saling menghormati dan tanggungjawab terhadap masyarakat,” katanya.

Seramai 112 peserta menyertai program itu yang membabitkan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) Sarawak Kampus Bintulu, Advanced Technology Training Centre (ADTEC) Bintulu dan TVET MARA Bintulu.

Johnny Pang merakam gambar bersama penganjur serta peserta Program RYTHM: Ritma Kehidupan Harmoni – Program Terapi OKU Peringkat Bahagian Bintulu.

Program tersebut turut melibatkan murid berkeperluan pendidikan khas daripada SMK Kidurong, SMK Bintulu, SMK Baru Bintulu dan SMK Assyakirin selain pelatih OKU serta ahli Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan Bintulu.

Tambahnya lagi, penglibatan pelbagai lapisan masyarakat dalam program itu membuktikan usaha membina komuniti inklusif memerlukan kerjasama berterusan daripada institusi pendidikan, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, sukarelawan dan keluarga peserta sendiri.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Bintulu, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, UPM Sarawak Kampus Bintulu, Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) sekitar Bintulu, ADTEC Bintulu, TVET MARA Bintulu serta Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan Bintulu yang menjayakan program tersebut.

“Semangat prihatin, hormat-menghormati dan kesukarelawanan yang diterapkan menerusi Program RYTHM wajar diteruskan bagi memastikan golongan OKU terus mendapat tempat dan peluang yang sewajarnya dalam masyarakat.

“Program pada hari ini mungkin akan berakhir, tetapi saya berharap semangat yang kita bina bersama tidak berakhir di sini,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU