KUCHING: Program RYTHM – Ritma Kehidupan Harmoni Program Sukarelawan perlu terus berkembang sebagai wadah yang membuka lebih banyak peluang serta
manfaat kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kerajaan melalui kementeriannya komited memastikan kesinambungan program berkenaan dengan sokongan institut pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA / IPTS), badan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan dan sektor swasta.
“Mudah-mudahan Program RYTHM akan terus menjadi wadah yang menyemai nilai kemanusiaan serta memperkasa masyarakat untuk terus menghargai dan memperkasa golongan OKU,” katanya berucap pada Program RYTHM di Kolej Universiti i-Cats di sini, hari ini.
Program RYTHM ialah satu kerjasama yang menggembleng tenaga belia dan pelajar institut pengajian tinggi daripada pelbagai bidang kepakaran seperti perubatan, kejururawatan, terapi, pemulihan cara kerja dan pemulihan anggota untuk meningkatkan kesejahteraan OKU.
Pelibatan para pelajar melalui kepakaran yang dimiliki dapat memberi manfaat kepada kumpulan sasar di institusi kebajikan dan pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) serta memberikan pengalaman lapangan yang amat bernilai kepada mereka.
Menurut Nancy, sasaran penerima manfaat program ini adalah seramai 6,500 orang, terdiri daripada warga emas dan OKU dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM5 juta.
Katanya ia merangkumi 133 Program Sihat Warga Emas berjumlah RM1,995,000; 133 Program Terapi OKU berjumlah RM1,995,000 dan enam siri latihan Seminar Penjagaan Warga Emas / Terapi OKU yang akan diadakan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak berjumlah RM1,010,000.
Justeru, Nancy berkata pendekatan ini memberi ruang kepada para pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh melalui pengalaman sebenar serta memupuk nilai empati, kerjasama dan kesukarelawanan.
“Aktiviti ini juga membina keyakinan diri serta semangat
kebersamaan.
“Hal ini membuktikan bahawa pendekatan terapi dan interaksi secara langsung dapat menjadi medium untuk memperkukuh hubungan antara komuniti serta membentuk masyarakat yang lebih harmoni dan inklusif,” katanya.



