MUKAH: Penduduk di Bahagian Mukah berpeluang mendapatkan 170 perkhidmatan serta maklumat berkaitan dengan pelbagai inisiatif kerajaan menerusi Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 bermula 2 hingga 4 Oktober ini.
Program edisi kelapan itu menghimpunkan 50 agensi kerajaan, badan berkanun dan rakan strategik bagi mendekatkan perkhidmatan awam kepada masyarakat menerusi penyediaan pelbagai kaunter serta aktiviti sepanjang penganjuran.
Menurut Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU), orang ramai boleh mendapatkan penerangan secara langsung berhubung dengan bantuan, pendidikan, peluang pekerjaan, kesihatan serta pelbagai perkhidmatan kerajaan yang disediakan di lokasi program.
Antara perkhidmatan yang menjadi tumpuan termasuklah kaunter Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 yang memberikan penjelasan mengenai syarat kelayakan, kadar bantuan dan mekanisme penyaluran secara digital menggunakan platform SPay Global.
Bagi SKAS 2026, penerima yang memenuhi syarat terdiri daripada kategori isi rumah yang menerima RM1,100, warga emas RM600 dan individu bujang RM375, dengan hampir 800,000 penerima di seluruh Sarawak dijangka memperoleh manfaat berkenaan.
Sektor pendidikan turut diberi perhatian menerusi penyediaan maklumat berkaitan dengan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), termasuk pilihan institusi, bidang pengajian dan kriteria kemasukan.
Selain itu, sekurang-kurangnya lima pelajar dijadualkan menerima tawaran ke Yayasan Sarawak International Secondary School (YSISS).
Dalam perkembangan sama, 10 pelajar akan menerima manfaat FTES, manakala 10 penerima tempatan pula dijadualkan menerima manfaat SKAS 2026 dalam sesi penyampaian inisiatif kerajaan yang diadakan sepanjang program tersebut.
Golongan belia dan pencari pekerjaan juga boleh memanfaatkan platform berkenaan untuk mendapatkan maklumat mengenai peluang kerjaya, pembangunan kemahiran dan padanan pekerjaan.
Perkhidmatan kesihatan seperti saringan kesihatan, pemeriksaan kecergasan serta suntikan vaksin influenza untuk warga emas turut disediakan.
Selain itu, kaunter Talikhidmat akan berfungsi sebagai saluran sehenti bagi membolehkan orang ramai mengemukakan pertanyaan dan aduan berkaitan dengan perkhidmatan kerajaan.
Program berkenaan turut diserikan dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, termasuk persembahan kebudayaan, sukaneka dan Konsert Rakyat, selain menawarkan 85 hadiah kepada pengunjung dengan sebuah kereta Proton Saga sebagai hadiah utama.
Majlis perasmian SKS 2026 Bahagian Mukah akan disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 3 Oktober, jam 10.30 pagi di Khemah Utama, Dataran Pehin Setia Raja.


