KUCHING: Program Shell LiveWire Sarawak 2026 terus memainkan peranan penting dalam memperkasa usahawan tempatan dengan menyediakan platform pembangunan perniagaan, bimbingan serta peluang rangkaian yang mampu membantu mereka berkembang dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata program tersebut bukan sekadar membantu individu memulakan perniagaan, malah membentuk generasi usahawan yang berdaya tahan, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa depan.

Menurut beliau, Sarawak kini melalui fasa pertumbuhan dan transformasi ekonomi yang pesat melibatkan pelbagai sektor strategik termasuk tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur digital, pembuatan maju, serta industri mampan.
“Pertumbuhan ekonomi sahaja tidak menjamin peluang kepada masyarakat. Usahawanlah yang berperanan menterjemahkan peluang tersebut kepada kemajuan, penciptaan pekerjaan dan manfaat kepada komuniti.
“Jika kita mahu mencapai aspirasi pembangunan jangka panjang Sarawak, kita perlu terus melahirkan lebih ramai usahawan yang berkeupayaan, berdaya tahan dan bersedia memimpin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Shell LiveWire Sarawak 2026 di Kampung Digital Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) di sini, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi TEGAS turut merakamkan penghargaan kepada Shell Malaysia atas kerjasama berterusan dalam membangunkan ekosistem keusahawanan di Sarawak.

Menurut beliau, lebih 100 permohonan diterima tahun ini sebelum disaring kepada 30 peserta dan 10 finalis, sebelum akhirnya lima pemenang dipilih untuk mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan.
“Program ini bukan sahaja membantu usahawan mengembangkan perniagaan, malah membuka peluang membina rangkaian, meningkatkan keyakinan dan menembusi pasaran yang lebih luas,” katanya.
Jelas beliau, produk yang diketengahkan tahun ini membuktikan kreativiti usahawan Sarawak, termasuk produk berasaskan bahan kitar semula, coklat tempatan, dan wangian berasaskan minyak kelapa.
Tambahnya, perkembangan ekonomi digital dan ekonomi hijau turut membuka peluang lebih besar kepada usahawan tempatan untuk memasarkan produk mereka ke peringkat global.
Katanya, sejak diperkenalkan, Shell LiveWire telah menjadi platform yang membantu usahawan tempatan memperoleh pendedahan, meningkatkan keupayaan, mengembangkan rangkaian serta menukar idea kepada perniagaan yang memberi impak kepada masyarakat.
Dalam pada itu, Pengarah Perhubungan Korporat Shell Malaysia Cindy Lopez berkata Shell LiveWire bukan sekadar menawarkan program pembangunan usahawan, sebaliknya membuka peluang kepada peserta untuk mengenal pasti potensi diri, membina hubungan strategik dan membawa idea mereka ke tahap lebih tinggi.
“Keusahawanan bukan hanya mengenai membina perniagaan tetapi tentang keberanian mengambil peluang, meneroka kemungkinan baharu dan memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat.
“Kami percaya pertumbuhan sesebuah perniagaan tidak hanya bergantung kepada pembiayaan semata-mata, tetapi juga melalui pendedahan kepada perspektif baharu, perkongsian pengalaman serta hubungan yang mampu membuka lebih banyak peluang,” katanya.
Menurut beliau, kerjasama antara Shell dan TEGAS sejak sekian lama telah membantu mewujudkan lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan untuk meningkatkan keyakinan diri serta menjadi sebahagian daripada komuniti keusahawanan yang lebih luas.
Pada majlis tersebut, lima perusahaan tempatan iaitu Stinablis Sdn Bhd, Roti Lazeez Enterprise, Senju Co, Landik dan Syarikat Gandaan Restu (Deservebarn) diumumkan sebagai pemenang Shell LiveWire Malaysia 2026 peringkat Sarawak.
Kesemua pemenang menerima dana permulaan berjumlah RM10,000 daripada Shell serta tambahan RM5,000 daripada TEGAS, selain berpeluang mengikuti program bimbingan perniagaan selama setahun sebagai persediaan ke peringkat kebangsaan.


