SIMANGGANG: Dianggarkan 1,000 masyarakat sekitar bandar ini bakal memeriahkan program Simanggang Berselawat bersama-sama Sheikh Mahmoud Al Wosabi di Masjid Bandar Sri Aman pada 2 Mac depan.
Pengerusi Kelab Belia Transformasi Aktif Bandar Simanggang Nur Izzati Zalaluddin berkata, program seumpama ini julung kalinya diadakan di Sri Aman, namun atas iltizam banyak pihak ia hampir menjadi realiti.
“Ini merupakan komitmen Kelab Belia Transformasi Aktif Bandar Simanggang yang bekerjasama dengan beberapa pihak lain.
“Antaranya Pejabat Agama Islam Bahagian Sri Aman, HIKMAH Cawangan Sri Aman, Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Cawangan Sri Aman, Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) Sarawak, Persatuan Kebajikan Mahabbah Sarawak dan Maulid Akbar Sarawak.
“Alhamdulillah bakal menjadi realiti dengan anggaran jemaah kira-kira 1,000 orang. Lagi ramai lagi bagus,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.
Beliau mengajak muslimin dan muslimat untuk turut memeriahkan Masjid Bandar Sri Aman bermula 6.30 petang Sabtu.
Katanya pada petang itu diadakan solat Maghrib berjemaah.
“Selepas itu, diadakan Selawat Ratib Al-Attas, solat Isyak, selawat dan ceramah oleh Sheikh Mahmoud Al Wosabi dan ditutup dengan jamuan,” tambahnya.
Izzati berterima kasih kepada semua pihak yang bekerja keras untuk memastikan Simanggang Berselawat pada Sabtu ini mencapai objektif.


