ARTIKEL

Datuk Ibrahim Baki membantu memasang kaki palsu salah seorang penerima kaki palsu.

Program sumbangan anggota badan prostetik percuma bakal diperluas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Program sumbangan kaki palsu dan anggota badan prostetik percuma bakal diperluaskan ke daerah lain di Sarawak bagi menjangkau lebih banyak penerima yang memerlukan.
 
Menurut ADUN Satok, Datuk Ibrahim Baki, usaha baik itu sangat diperlukan untuk membantu orang kurang upaya (OKU) yang tidak berkemampuan supaya dapat menjalani kehidupan yang lebih baik.
 
“Program yang bermula sejak Mei lalu ini menyasarkan sumbangan anggota badan palsu prostetik kepada sejumlah 250 orang penerima, daripada pelbagai latar belakang tanpa mengira bangsa dan agama mereka.
 
“Sejak dilancarkan, setakat ini ia sudah memanfaatkan sejumlah 144 penerima. Jadi, kemungkinan program ini akan diperluaskan ke kawasan lain seperti Miri, Sibu atau Gedong untuk memastikan jumlah sasaran dapat dicapai.
 
“Dalam masa yang sama memberi manfaat dan kesejahteraan kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Sumbangan Tangan dan Kaki Palsu, Dana Pendidikan Pelajar serta Peruntukan Masjid dan Surau di Kawasan DUN Satok, di Dewan Anak Seni Kampung Bandarsah, di sini, hari ini.
 
Program anjuran badan bukan kerajaan (NGO) Gereja Jesus Christ of Latter Day Saints Malaysia; Yayasan Peduli Tuna Daksa (di bawah Panji Sadhu Vaswani Center Jakarta); Persatuan Pengajian Sadhu Vaswani; Che Hui Khor Kuching dan Ming Ya Shang Ge, Jakarta itu menyediakan peruntukan berjumlah RM250,000.
 
Program sesi kedua semalam menyaksikan seramai 33 orang peserta menerima bantuan anggota badan palsu masing-masing. Manakala seramai 19 orang lagi peserta mendaftar untuk program siri ketiga.
 
Antara penerima adalah dari kawasan DUN Satok, Tupong, Samariang, Pantai Damai, Batu Kitang, Batu Kawa, Stakan dan Gedong.
 
Dalam perkembangan lain, majlis tersebut turut menyaksikan Ibrahim menyerahkan sumbangan dana pendidikan sebanyak RM1,500 masing-masing kepada 21 orang pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
 
“Sumbangan ini bagi membantu para pelajar dari kawasan DUN Satok yang memasuki IPT bagi membayar yuran pendaftaran serta membeli barangan keperluan lain sementara menunggu biasiswa atau pinjaman pelajaran.
 
“Untuk tahun ini sahaja, kami telah membantu lebih 100 pelajar. Jadi tidak kira siapa tanpa mengira perbezaan, jika mereka memohon bantuan kewangan, kami akan membantu selagi mereka memerlukannya,” tambahnya.
 
Dalam majlis yang sama, Ibrahim juga menyerahkan sumbangan barangan keperluan pengurusan jenazah kepada tiga surau dan sebuah masjid. Antara penerima ialah Surau Bandarsah Kampung Bandarsah, Surau Nurul Islam Kampung No.5, Surau Darul Ihsan Kampung Kudei Baru dan Masjid Darul Istiqlaal Kampung Sungai Maong.
 
Selain itu, beliau turut menyumbangkan untuk membantu pelaksanaan program serta aktiviti Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak.

Datuk Ibrahim Baki menyampai sumbangan dana pendidikan kepada salah seorang pelajar.


 

BERITA LAIN

BERITA TERBARU