LAWAS : Program Ziarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Semarak Ramadan 2023 melabuhkan tirai dengan pelaksanaan serentak di bahagian Limbang, Miri dan Kuching pada Sabtu.

Pegawai Tadbir Khas UKAS Datuk Takun Sunggah berkata, program itu diadakan secara tahunan di setiap bahagian di Sarawak.
Menurutnya, program tersebut merupakan platform untuk merapatkan silaturahim antara masyarakat dengan barisan pemimpin negeri, ketua jabatan serta pemimpin akar umbi.
“Hari ini merupakan hari terakhir pelaksanaan program Ziarah UKAS Semarak Ramadan iaitu di Lundu, Miri dan juga Lawas.

“Mudah-mudahan kita akan terus berjumpa dalam edisi tahun akan datang,” katanya dalam Program Ziarah UKAS Semarak Ramadan Bahagian Limbang yang disempurnakan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, di Masjid Datuk Pengiran Haji Matusin, Kampung Dato Kuala Lawas, pada Sabtu.
Katanya lagi, program seumpama itu juga menjadi platform untuk menyalurkan sumbangan kepada golongan memerlukan sebagai persediaan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang menjelang tiba.
Seramai 110 penerima terdiri daripada 54 warga emas, 18 ibu tunggal, 20 orang kurang upaya (OKU) dan 18 anak yatim dari tiga kampung iaitu Kampung Datu Hulu, Kampung Dato Menengah dan Kampung Dato Laut menerima sumbangan pada program tersebut.
Antara pengisian program termasuk tazkirah Ramadan oleh Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Lawas, Jabatan Kebajikan Islam Malaysia (JAKIM), Ustaz Sheikh Hadzrei Adam Seberi disusuli majlis berbuka puasa.

