KUCHING: Projek Agropolitan di Sarawak yang sedia ada tetap diteruskan walaupun telah dihentikan pada 2018.
Menteri Muda Pertanian, Tanah Asli dan Pembangunan Wilayah Datuk Roland Sagah berkata di bawah projek itu, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) telah membangunkan ladang getah secara berfasa di kawasan Ulu Awik, Saratok, Betong.
“Tanaman getah di Ulu Awik di bawah Projek Agropolitan Bukit Sadok melibatkan kawasan seluas 322.57 hektar bermula dari 2010 hingga 2017.
“Projek ini melibatkan seramai 155 peserta dengan kos pembangunan sebanyak RM9.13 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Adun Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa mengenai status projek Agropolitan Bukit Sadok yang meliputi empat kawasan Parlimen dan tujuh kawasan Dun termasuk Engkilili pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini, hari ini.
Roland menambah, penanaman pokok getah di bawah projek agropolitan Bukit Sadok dilaksanakan dalam empat fasa yang melibatkan empat blok kawasan telah mula mengeluarkan hasil.
“Blok A dan B merangkumi kawasan seluas 187.65 hektar telah mengeluarkan hasil pada Julai 2019 dan Februari 2020.
“Kerja-kerja penyelenggaraan dan pemantauan ke atas pertumbuhan tanaman getah sedang dilaksanakan,” jelasnya.
Projek Agropolitan merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLS) untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan penduduk luar bandar dan mula dilaksanakan di Sarawak pada 2009.
Pada 2018, KPLS telah memperkenalkan program baharu iaitu Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (Prospek) dan projek agropolitan ditamatkan.
Sehubungan itu, tiada Projek Agropolian baharu diluluskan, manakala projek yang sedia ada tetap diteruskan.


