ARTIKEL

Projek F6-VLAP dijangka menyumbang kepada tabung Kerajaan Sarawak RM50 juta setahun

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Projek F6-VLAP (Very Low Abandonment Pressure) dijangka menjana pengeluaran gas sebanyak 150 MMscf/d yang diunjurkan menjana pendapatan kira-kira RM2.76 juta sehari.

Setiausaha Kewangan Negeri merangkap Pengarah Brooke Holding Sdn Bhd (BHSB) Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar berkata ia sekali gus menyumbang besar kepada tabung Kerajaan Sarawak melalui cukai jualan ke atas minyak dan gas, dianggarkan sekitar RM50 juta setahun.

“Projek F6-VLAP dijangka tamat pada suku pertama 2025 dan kami merakamkan terima kasih kepada Sarawak Shell Berhad kerana kepercayaan dan perkongsian yang tidak berbelah bahagi sejak 1999, dengan 19 projek seberat 22,000 MT membolehkan kami menyumbang kepada pendapatan negeri sambil menyediakan perniagaan dan pekerjaan kepada syarikat Sarawak yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Pertukaran Dokumen Kontrak bagi Penyediaan Kejuruteraan, Perolehan dan Pembinaan (EPC) Kerja-kerja Struktur Luar Pesisir Tetap untuk Projek Pemampatan F6 VLAP oleh Brooke Holdings kepada Sarawak Shell Berhad di sini, hari ini.

Majlis turut disaksikan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, Pengerusi PETROS Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo dan Naib Presiden Kanan Perniagaan Huluan di Malaysia merangkap Pengerusi Negara Shell Malaysia Siti Hurrairah Sulaiman.

Menjelas lanjut, Wan Lizozman berkata projek berkenaan yang berlangsung selama 20 bulan dari Julai 2023 hingga Februari 2025, bukan sahaja memastikan kemampanan unit minyak dan gas Sarawak tetapi juga menempatkan 185 kakitangan teknikal minyak dan gas berpengalaman, jurutera dan pengurus terutamanya penduduk tempatan Sarawak.

“Impak positif melangkaui tenaga kerja kami, dengan sekurang-kurangnya 40 peratus daripada kos projek berjumlah RM152 juta dijangka akan disuntik ke dalam ekonomi Sarawak, mewujudkan kesan ‘spin-off’ ekonomi kepada pelbagai industri dan memanfaatkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Pelaburan yang besar ini mewujudkan permintaan pekerja minyak dan gas yang berkemahiran tinggi serta membolehkan penciptaan pekerjaan kepada kira-kira 1,000 pekerjaan baharu untuk rakyat Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari dalam ucapan merakamkan penghargaan kepada Shell kerana menawarkan projek itu kepada Brooke Holdings.

“Ini adalah bukti keyakinan terhadap Brooke Holdings dan saya berharap dengan kontrak projek ini, ia akan meningkatkan teknologi dan cara kita melaksanakan projek yang diberikan.

“Ini adalah projek ke-15 dan saya harap akan ada lebih banyak lagi dan seterusnya,” katanya.

Manakala, Siti Hurrairah berkata Projek F6-VLAP akan menjadi sebahagian daripada kemudahan F6 pihaknya di perairan Sarawak.

“Ia terdiri daripada platform bersepadu baharu, dengan gabungan ‘topside’, substruktur dan jambatan bersambung secara kumulatif seberat hampir 6000 tan metrik.

“Platform pemampatan, penjanaan kuasa dan utiliti bersepadu ini ditempatkan dalam platform tiga tingkat yang akan dibina di kawasan fabrikasi Brooke Demak,” katanya.

Menurutnya sebelum F6-VLAP, Shell telah menganugerahkan 14 projek lain kepada Brooke Holdings, dengan projek F6-VLAP adalah projek ke-15 yang dianugerahkan oleh Shell kepada Brooke Holdings.

“Ini menunjukkan bagaimana perkongsian antara Brooke dan Shell telah berkembang dalam jangka masa yang panjang.

“Ia juga menunjukkan keyakinan kami terhadap fabrikasi tempatan.

Kami amat berbangga dengan semangat “Kamek Boleh” orang Sarawak,” katanya.

LAIN-LAIN BERITA

BERITA TERBARU