KUCHING: Impian penduduk di sekitar Lorong Stampin Barat 4 untuk memiliki sistem saliran yang lebih baik akhirnya menjadi kenyataan apabila projek menaik taraf longkang tanah kepada longkang konkrit dimulakan secara rasmi hari ini.
Menurut ADUN Kota Sentosa, Wilfred Yap, projek berkenaan yang dilaksanakan di bawah peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025 melibatkan penukaran longkang tanah yang semakin rosak kepada longkang konkrit yang kekal.
“Projek penaiktarafan bernilai RM250,000 yang dilaksanakan menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ini akan memberikan impak besar dari segi pengurusan air hujan dan mengurangkan risiko banjir kilat.
“Selain itu, ia akan meningkatkan tahap kebersihan serta keselamatan penduduk sekitar termasuk murid sekolah yang berhampiran,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, projek ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyelesaikan isu saliran yang telah lama dibangkitkan oleh penduduk.
“Penduduk di sini telah lama meminta sistem saliran yang lebih baik bagi mengelakkan takungan air dan hakisan yang kerap berlaku.
“Oleh itu, projek ini bertujuan untuk memperbaiki kualiti hidup dan melindungi kediaman daripada kerosakan yang tidak sepatutnya bagi memastikan peruntukan awam digunakan untuk pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Lawatan tapak bersama JPS Kuching telah diadakan hari ini bagi menyerahkan Surat Setuju Terima (LoA) kepada kontraktor yang dilantik, Syarikat Bard Supply and Services, sekali gus menandakan permulaan rasmi projek tersebut.
Wilfred turut memberi jaminan bahawa beliau akan terus memantau rapat perkembangan projek ini bersama agensi berkaitan bagi memastikan ia disiapkan mengikut jadual dan memenuhi tahap kualiti yang ditetapkan.
Kerja pembinaan dijadualkan bermula serta-merta dan dijangka siap sepenuhnya pada November 2025.


