SIBU: Projek naik taraf Jalan Ling Kai Ching di sini bakal dimulakan sebaik sahaja keadaan banjir pulih kelak, kata Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang Ming Tee.
Beliau berkata, perbincangan mengenai perkara itu telah dilakukan dengan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Clarence Ting Ing Horh bagi mempercepatkan kerja sebaik sahaja keadaan membenarkan.
“Kami sedang menyediakan dokumen yang diperlukan sekarang…kerja naik taraf ini meliputi kawasan yang paling terjejas, dari permulaan jalan (Jalan Ling Kai Ching) hingga ke jambatan di hadapan Swan Square,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran kempen Jualan Bendera Tahunan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cabang Sibu 2025 di Star Mega Mall, hari ini.
Tambah Micheal, kawasan itu sering dilanda banjir dan menjejaskan penduduk di Ulu Sungai Merah, Teku dan Bawang Assan.
Justeru katanya, beliau akan memberikan kemas kini kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBS) mengenai situasi ini dan mencari sokongan yang diperlukan.
“Projek pemulihan bencana bernilai RM2.5 juta ini akan menaik taraf Jalan Ling Kai Cheng sepanjang 780 meter yang telah terjejas akibat banjir.
Mengenai situasi banjir, Tiang menyatakan bahawa ia tidak hanya menjejaskan Sarawak tetapi juga Sabah dan Johor.
“Ini mungkin salah satu banjir terburuk dalam beberapa dekad, tetapi pihak berkuasa sedang memantau kawasan yang terjejas dengan teliti. Sehingga semalam, 21 buah sekolah di Sibu telah terjejas,” katanya.
Beliau menasihatkan penduduk di kawasan yang mudah dilanda banjir untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan mendapatkan bantuan apabila diperlukan.


