KUCHING: Projek menaik taraf Jalan Musi–Buso, Bau bernilai RM73 juta kini memasuki fasa awal pelaksanaan dengan kontraktor memulakan tinjauan serta pembersihan tapak setakat Disember.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Henry Harry Jinep berkata, projek yang dijangka siap pada 10 Mei 2028 itu melibatkan kerja-kerja menaik taraf jalan sedia ada sepanjang 7.4 kilometer.
“Projek ini juga merangkumi pembinaan dua jambatan konkrit baharu, pembinaan lencongan jalan baharu serta kerja-kerja pengalihan utiliti,” katanya.
Beliau yang juga ADUN Tasik Biru berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Menaik Taraf Jalan Musi-Buso, Bau di Dewan Musi, di sini, hari ini.


Menurutnya, pelaksanaan projek tersebut bakal meningkatkan keselamatan dan keselesaan perjalanan.
“Ia akan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat, khususnya di kawasan Musi dan Buso,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama erat antara pihak kontraktor dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bagi memastikan projek berkenaan disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.


