DARO: Projek Pasar Tani Daro yang bernilai RM15 juta kini mencapai kemajuan fizikal 70.13 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada April tahun depan.
Projek berimpak tinggi yang dilaksanakan di kawasan seluas lima ekar itu merupakan antara projek rakyat yang diluluskan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bagi menyediakan kemudahan perniagaan yang lebih selesa dan tersusun kepada peniaga pasar tani di daerah berkenaan.
ADUN Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, pelaksanaan projek berkenaan setakat ini berjalan lancar berdasarkan perkembangan kerja di tapak, sekali gus memberi keyakinan bahawa kemudahan pasar tani kekal itu dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
Katanya, projek berkenaan amat penting kerana peniaga pasar tani ketika ini masih menjalankan aktiviti perniagaan di lokasi sementara yang mempunyai keterbatasan dari segi kemudahan dan keselesaan.
“Pasar tani baharu ini bakal menyediakan sebanyak 90 unit gerai, termasuk 18 unit kiosk bergerak, yang akan memberi ruang lebih teratur kepada peniaga, khususnya mereka yang menjual barangan kering dan produk tempatan.”
“Selain ruang niaga, projek ini turut dilengkapi kemudahan sokongan seperti kawasan parkir kereta dan motosikal, pusat informasi, tandas awam serta kemudahan lain bagi memenuhi keperluan peniaga dan pengunjung,” katanya ketika ditemui hari ini.
Safiee berkata, kewujudan pasar tani kekal itu bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan peniaga, malah menyediakan lokasi yang lebih mudah dan selesa kepada penduduk serta pengunjung dari luar Daro untuk mendapatkan pelbagai barangan dan produk tempatan yang sinonim dengan daerah berkenaan.
Sebelum itu, beliau berkesempatan mempengerusikan mesyuarat penyelarasan pelaksanaan bagi mengetahui status terkini projek berkenaan.
